29 July 2009

BONUS KAKITANGAN AWAM 2009

PRESIDEN CUEPACS MALAYSIA


JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam, menerusi pengumuman Bajet 2010, Oktober depan. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perbincangan mengenai bonus hanya akan diadakan pada mesyuarat tertinggi kongres itu minggu depan sebelum dikemukakan kepada kerajaan. "Pemberian bonus ini dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Khamis lalu. Kita setuju sekiranya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) tidak dapat dinaikkan dalam keadaan ekonomi ketika ini, namun diharap musim perayaan nanti, kira-kira 1.2 juta penjawat awam negara ini dapat menikmati ‘duit raya’," katanya.
Omar berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, semalam. Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dari penjawat awam yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai pemberian bonus selain, perkara lain yang dibangkitkan Cuepacs. Mengenai kadar pemberian bonus, beliau berkata, ia terserah kepada kerajaan kerana Cuepacs memahami keadaan kerajaan yang berdepan dengan situasi ekonomi tidak menentu.
Ketika ini, bonus penjawat awam diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya dan pada waktu baik penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000. Dalam perkembangan lain, Omar berkata, pihaknya menyambut baik enam teras Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin, terutama usaha memperkasa prasarana luar bandar. Beliau berkata, Cuepacs mendapati banyak kemudahan awam seluruh daerah seperti jalan raya dan pondok polis perlu dibaik pulih serta ditingkatkan supaya matlamat menjadikan negara maju dapat dicapai. Katanya, satu pertemuan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut diadakan kelmarin bagi menghindar salah guna kuasa dan rasuah di kalangan penjawat awam.

SEMINAR KEPIMPINAN WANITA ABAD KE 21

Peserta Seminar bergambar bersama Presiden Cuepacs Malaysia Sdr Omar Bin Osman.
Sdri Vimaladevi turut serta di dalam seminar ini

Semua Peserta Seminar

Seminar Kepimpinan Wanita Abad ke 21 ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia ( YADIM ) dengan kerjasama Cuepacs Malaysia. 60 orang peserta wanita dari Cuepacs seluruh negara telah menyertai seminar ini yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2009. Seminar ini di adakan di Kondo Istana, Kuah , Langkawi. Ucap Utama dan perasmian dilakukan oleh Y.Bhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Bin Hj. Ahmad selaku Yang Dipertua YADIM. Seminar ini juga turut disertai oleh Presiden Cuepacs Malaysia Saudara Omar Bin Osman yang menyampaikan ucapan penutup dan penyampaian sijil kepada peserta seminar.

Cuepacs Negeri Perak diwakili oleh Pengerusi Cuepacs Perak Sdr Abdul Jalil B. Yang, Naib Pengerusi Cuepacs Perak Sdr Shuhaimi B. Othman, Ketua Wanita Cuepacs Perak Sdri Rodiana Bt. Ridzuan dan AJK Cuepacs Perak Sdri Vimaladevi A/P Krishnan yang juga ahli KSKM Negeri Perak.

27 July 2009

CUEPACS MAHU AMBIL ALIH FUNGSI KHIDMAT POTONGAN BULANAN





KUALA LUMPUR: Cuepacs hari ini menggesa Perbendaharaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). Ini bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata Angkasa memperoleh kira-kira RM8.1 bilion setahun daripada segi komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta.
"Daripada amaun ini, 50 peratus disumbangkan oleh kakitangan awam melalui pelbagai potongan," katanya. Angkasa mengenakan caj 2.5 peratus bagi amaun pinjaman bulanan sebagai komisen bagi perkhidmatan itu. "Apa yang kami cadangkan kepada kerajaan ialah untuk membenarkan Cuepacs mengambil alih perkhidmatan potongan bagi pinjaman kakitangan awam dan membiarkan Angkasa meneruskan perkhidmatan bagi sektor swasta.
"Jika cadangan itu diterima, ia akan membenarkan Cuepacs menjana kira-kira RM4 bilion setahun daripada perkhidmatan itu," katanya. Pendapatan itu, katanya akan disalurkan semula kepada kakitangan awam melalui sebuah yayasan dalam bentuk biasiswa, bantuan perubatan, geran dan bantuan kewangan dan material lain. "Bantuan juga akan diberikan kepada pesara kerajaan, dengan itu dapat mengurangkan beban di pihak kerajaan. "Ini akan mewujudkan keadaan saling bermanfaat, kerana kakitangan awam dan kerajaan akan mendapat faedah daripada skim ini," katanya.
Ahmad Shah berkata Angkasa tidak menyumbang "apa-apa kepada kakitangan awam," di sebalik menjana pendapatan besar daripada mereka. Beliau berkata Cuepacs mempunyai keupayaan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan itu dan apa yang diperlukannya ialah sedikit bantuan di peringkat permulaan daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur diperlukan. "Mungkin kerajaan boleh memberikan kami pinjaman mudah yang kami mampu bayar balik dalam tempoh singkat apabila sistem kami beroperasi," katanya. Sementara itu, Bernama difahamkan Perbendaharaan dan Pejabat Akauntan Negara bersetuju dengan cadangan itu dan bersedia membantu Cuepacs jika kerajaan meluluskan cadangan itu. "Menyediakan infrastruktur bukan masalah besar dan ia boleh dilakukan dengan mudah kerana asasnya sudah ada," kata sumber di MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia). Menurut sumber itu malahan mendapatkan kakitangan berpengalaman bukan satu masalah kerana pegawai berpengalaman daripada Pejabat Akauntan Negara dan jabatan lain boleh dipinjamkan sementara untuk membantu Cuepacs. - Bernama

21 July 2009

SELAMAT MENYAMBUT ISRAK MIKRAJ




KSKM Cawangan Negeri Perak mengucapkan selamat menyambut Israk Mikraj 1430 buat semua Pembantu Makmal di seluruh Malaysia.

Perintah solat 5 waktu


Israk dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.

Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik langit.

19 July 2009

8 TUNTUTAN CUEPACS UNTUK 1.2 JUTA KAKITANGAN AWAM


8 TUNTUTAN CUEPACS UNTUK 1.2 JUTA KAKITANGAN

Berita Harian
17/7/2009




KUALA LUMPUR: Lapan tuntutan digariskan Majlis Kongres Cuepacs untuk manfaat 1.2 juta penjawat awam, termasuk pesara kerajaan adalah cadangan yang masih di peringkat perbahasan dan disimpan dalam fail dikategorikan sulit oleh majlis berkenaan.

Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata kertas kerja berhubung semua tuntutan itu juga belum dirangka, malah ia belum dibincangkan di peringkat Majlis Kongres Cuepacs Khas membabitkan semua kesatuan gabungan.



“Belum ada ketetapan muktamad mengenainya, sebab itu sehingga sekarang kami tidak membuat sebarang kenyataan media mengenainya, cuma fakta mengenainya dipetik daripada sumber kajian yang belum dimuktamadkan.

“Sebagai pengerusi mesyuarat di Ipoh pada 27 Jun lalu itu, perkara itu tidak tersenarai dalam agenda mesyuarat,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Bernama melaporkan Majlis Kongres Cuepacs meluluskan cadangan menuntut kerajaan membayar bonus tetap setiap tahun dengan menggabungkan elemen imbuhan itu dalam skim perkhidmatan kakitangan awam.

Ini adalah antara beberapa tuntutan baru yang akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan penjawat awam.

Selain bonus tetap, tuntutan lain adalah kadar faedah pinjaman perumahan dikurangkan kepada satu peratus, bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari, formula pencen mengikut gaji pokok terakhir termasuk elaun, cuti tahun menjaga anak sakit, bayaran balik implan gigi dan rawatan mata, sistem kenaikan matriks diganti dengan sistem linear dan mewujudkan skim sub-profesional bagi pemegang diploma.

Aziz berkata, pihaknya bimbang persepsi kerajaan apabila tuntutan itu didedahkan sebelum keputusan muktamad dibuat kerana ia menggambarkan seolah-olah Cuepacs memberi tekanan kepada kerajaan, terutama di awal pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Selalunya pemimpin Cuepacs akan berjumpa Perdana Menteri terlebih dulu untuk membentangkan tuntutan terbaru kesatuan sebelum membuat kenyataan media mengenainya,” katanya yang bimbang kejadian itu boleh mengganggu gugat usaha Cuepacs itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Gaji Cuepacs juga terkejut apabila dimaklumkan berhubung perkara itu kerana nota berhubung tuntutan itu masih di peringkat sulit.

Malah, katanya, memang ada perbincangan yang sedang diusahakan Presiden Cuepacs, Omar Osman berhubung formula baru pencen kakitangan awam tetapi perkara itu belum sampai ke peringkat yang boleh dihebahkan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan dengan lebih lanjut langkah terbaik bagi memastikan tiada sebarang tanggapan buruk kerajaan terhadap Cuepacs hingga boleh menjejaskan usaha yang dilakukan untuk manfaat penjawat awam.

Sumber memberitahu Berita Harian, hanya tuntutan berkaitan bonus tetap setiap tahun saja isu baru yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, manakala tujuh tuntutan lain adalah isu lama yang akan diketengahkan semula untuk pertimbangan kerajaan.

16 July 2009

BERSAMA "TEMAN"




Bicara Terbuka Luahan Rasa Bersama ”Teman”

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera,,

Apakhabo semua rakan-rakan dan teman-teman Kakitangan Makmal Negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.Harapan Teman mudah mudahan yop yong kite semua dalam keadaan sihat dan ceria selalu.Jangan masam-masam jangan stres,jangan terlalu tertekan dengan suasana kerja dan persekitaran tempat kerja yang membuatkan kita rasa tak sanggup nak pandang ( Kata orang mude-mude BORING TAHAP CIPAN).Kalau 10 tahun bertugas ditempat sama maknanya 10 tahun lah kita melihat persekitaran yang sama ,kita melihat dan berjumpa dengan wajah yang sama .Kita bercakap dengan suara yang sama.kita melihat perangai dan tingkah laku pelajar yang sama dan kita melayan kerenah guru guru sains yang sama.Itu belum lagi dicampur dengan arahan pelik pelik yang diterima masa kesemasa dari pentadbir.Kadang kadang kita sendiri tak pasti apa tugas sebenarnya kita ini (Teman ade sajak Pembantu Makmal yang Teman cipte,,nanti le Teman bagi kome bace,,)
So,rakan rakan dan teman teman untuk Pertemuan Sulong minggu ini Teman nak berikan kaedah menangani stres secara mudah.Sebelum tu kalau ada dikalangan mike semua pakar-pakar bahasa tolong perbetulkan Bahasa Malaysia Teman. Sebab Teman bukan pakar bahasa .Dan Teman harap sangat-sangat rakan-rakan dan teman-teman semua dapat gunakan ruangan ni untuk bicara dan berikan komen atau luahkan apa saja masalah untuk sama-sam kita kongsi tak kiralah masalah dirumah,disekolah atau masalah peribadi sehingga persoalan cinta sekali pun atau apa saja bicara ikhlas dengan syarat tidak menyentuh peribadi mana-mana pihak atau menyalahi undang-undang negara. Kalau pun terpaksa menyentuh peribadi seseorang janganlah disebutkan nama atau dalam ertikata lain jangan dizahirkan personaliti tersebut..Mudah mudahan kita sama-sama dapat bersatu dalam ruangan ini seperti ungkapan yang sering kita dengar,,YANG JAUH KITA DEKATKAN YANG DEKAT KITA MESRAKAN,YANG MESRA KITA SERASIKAN,YANG SERASI KITA SATUKAN DALAM BENTUK PERJUANAGN MEMBELA NASIB KITA, MASA DEPAN KITA DAN NASIB SERTA MASA DEPAN SELURUH KAKITANGAN MAKMAL SAIN DISELURUH NEGARA..Teman akan cuba menulis apa saja diruangan ini seminggu sekali..Rungkaikan segala masalah anda disini.Salam untuk semua.




TEKNIK LATIHAN MENANGANI STRES SECARA FIZIKAL

1) BAHAGIAN KEPALA DAN MUKA

· Kecutkan /Kerutkan Dahi
· Tutup Mata Rapat-Rapat
· Buka Mulut Seluas Yang Boleh
· Tolakkan Lidah Ke Lelangit
· Ketat kan Otot-Otot Sekitar Mulut Dengan Gigitan Yang Kuat


2) BAHAGIAN LEHER DAN TENGKOK

· Baring dan dongakkan kepala ke tahap maksimum
· Tundukkan kepala sehingga dagu mencecah dada
· Sandarkan kepala kekiri sehingga telinga kiri mencecah bahu kiri dan sebaliknya


3) BAHAGIAN BAHU

· Angkat kedua-dua bahu ketahap maksimum
· Kemudian angkat bahu kanan sehingga mencecah cuping telinga kanan
· Ulang pergerakan sama ke bahu kiri

4) BAHAGIAN TANGAN DAN JARI

· Angkat kedua dua tangan dan genggam sekuatnya
· Jika duduk dan baring tekan tangan kanan kelantai sekuatnya,kemudian diulang dengan tangan kiri
· Bengkokkan tangan kebahagian siku,kemudian ketatkan semua otot-otot tangan

5) BAHAGIAN DADA

· Tarik nafas panjang-panjang menerusi hidung
· Ketat dan tegangkan otot bahagian dada
· Tahan nafas dalam bilangan 10
· Hembus perlahan-lahan melalui mulut.

6) BAHAGIAN BELAKANG

· Bengkokkan belakang dengan menolak kedua-dua tangan kebelakang
· Bengkokkan badan ke depan supaya otot-otot belakang badan terasa tegang

7) BAHAGIAN PERUT

· Ketatkan semua otot-otot perut.
· Buincitkan perut ketahap maksimum
· Kempiskan perut ketahap maksimum

8) PUNGGUNG,KAKI DAN JARI

· Ketat dan kecutkan punggung
· Tekan tumit diatas permukaan lantai
· Tundukkan semua jari kaki kebawah,seolah boleh mencecah tapak kaki
· Angkat jari kaki seolah-olah mencecah dada


Satu Pesanan Penting,

Cuba bercakap dengan sesiapa sahaja yang anda rasa dapat mendengar masalah anda dan luahkan segalanya walaupun anda pasti anda tidak akan mendapat apa-apa pertolongan dari teman bicara anda,,dan untuk anda yang menjadi tempat luahan perasaan rakan anda cubalah menjadi seorang pendengar yang baik.

SELAMAT MENCUBA.....mailto:MENCUBA.....johariaziz@ymail.com

CUEPACS TUNTUT BONUS DALAM SKIM PERKHIDMATAN




KUALA LUMPUR 15 Julai — Cuepacs menuntut supaya elemen bonus digabungkan dalam skim perkhidmatan kakitangan awam bagi memastikan ia dibayar setiap tahun.
Pada masa ini, bonus diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya tidak seperti sektor swasta yang menjadikannya sebagai amalan tahunan.
Pada waktu yang baik, 1.2 juta penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.
Kongres itu juga mencadangkan supaya kadar faedah bagi pinjaman perumahan dikurangkan daripada empat peratus pada kadar sekarang kepada satu peratus setiap tahun.
Perkara itu merupakan antara beberapa cadangan baru kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan kepada penjawat awam dalam satu memorandum yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak lama lagi.
Sumber-sumber CUEPACS memberitahu Bernama hari ini bahawa memorandum itu diluluskan pada mesyuarat majlis kongres di Ipoh baru-baru ini juga akan menuntut perubahan bagi bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari pada masa ini kepada jumlah sebenar cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh para pegawai.
— LAGI CUEPACS-BONUS 2 KUALA LUMPUR Gantian cuti rehat adalah bayaran tunai bagi cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh seseorang pegawai sepanjang perkhidmatannya dengan kerajaan.
Satu lagi perubahan besar yang dituntut CUEPACS adalah berhubung pengiraan pencen.
Cuepacs mencadangkan supaya formula pencen yang ada sekarang dibuat berdasarkan gaji pokok terakhir ditukar bagi memasukkan juga semua elaun.
Ini bermakna apabila pengiraan pencen dibuat, semua elaun perumahan, kos hidup, makanan, perjalanan, pemandu, kesusahan dan keraian juga perlu dimasukkan kepada gaji pokok terakhir.
CUEPACS juga menuntut satu faedah baru dalam bentuk cuti tahun bagi menjaga anak yang sakit dengan tempohnya bergantung kepada tempoh keuzuran itu.
Satu lagi faedah baru yang diminta ialah bayaran balik bagi implan gigi dan rawatan mata.
Mengenai pelbagai skim perkhidmatan, Cuepacs menuntut supaya sistem kenaikan matriks digantikan dengan sistem linear dengan tambahan lima kenaikan.
Cuepacs juga mahu skim sub-profesional diwujudkan bagi pemegang diploma.
Sumber-sumber itu berkata para pemimpin Cuepacs begitu optimis bahawa kerajaan akan mempertimbang cadangan mereka dengan fikiran terbuka.
“Kami sedar bahawa cadangan itu, yang jika diterima keseluruhannya, akan meningkatkan kos pentadbiran kerajaan dengan begitu besar tetapi apa yang kami harapkan ialah permintaan kami itu akan dipenuhi secara berperingkat,” kata mereka.
— BERNAMA

10 July 2009

Ucapan Tahniah dari Setiausaha Agung KSKM Malaysia


Assalamualaikum Sdra/Sdri.
Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kpd KSKM Perak yang telah menggadakan BLOG nya sendiri. jUSTERU bersama ini saya attachkan LOGO KSKM...gantikan yg CUEPACS tu. Nanti org salah faham.
KEDUA : saya sarankan kpd KSKM cawangan lain buat BLOG sendiri... baru KSKM akan dipandang tinggi. Kalu boleh semua SU Cawangan perlu ada email sendiri...senang saya maklumkan secara direct kepada semua SU.
KETIGA : Saya akan maklumkan semua pertanyaan sdra/sdri..tentang perkara yg timbul dalam makmal yahoo. group coz saya akan ke KPM utk dpt maklumat sahih dan terkini..tunggu ya.. coz skrg ni tgh wat banyak perkara tntang perjwtan dan persediaan AGM Pahang/WPKL, persidangan pewakilan KSKM, LAPORAN AGM CAW KSKM KPD JHEKS, MBK SnT (paper sdg buat).dan sdikit dgn CUEPAC.
KEEMPAT : NASIHAT SAYA ......Bila da Blog tolong jaga dan hati2 dalam penulisan supaya TIDAK DAN JANGAN menyeleweng dari perkara dasar atau melanggar mana-mana peraturan/perundangan.


ASHAARI MAAROF
SETIAUSAHA AGUNG KSKM.

09 July 2009

PPSMI DIMANSUHKAN 2012

PPSMI dimansuh 2012


MUKTAMAD...Muhyiddin Yassin berkata sesuatu selepas mengumumkan keputusan Kabinet mengenai dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada sidang akhbar di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (tengah) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Alimuddin Mohd. Dom. – Utusan/Zaki Amiruddin


PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.


KSKM PERAK :

Ini adalah berita baik buat semua kakitangan Makmal Sains di seluruh Malaysia. Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik akan kembali menggunakan bahasa ibunda.

Tahniah buat Menteri Pelajaran kerana berani membuat perubahan semula.

01 July 2009

MESYUARAT BERSAMA JPA DI IPOH

Taklimat Pelaksanaan kenaikan pangkat perkhidmatan 15 tahun.

Satu Taklimat Pelaksanaan kenaikan pangkat pegawai kumpulan sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa secara khas untuk penyandang (KUP) oleh Dato' Dr Mohd Azhar Bin Hj. Yahaya, Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysia telah diadakan di Bilik Mesyuarat Gerakan Negeri, Aras 2 Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak sebelum Mesyuarat Majlis Kongres CUEPACS pada 26hb Jun 2009.

Falsafah Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan pelaksanaan kenaikan pangkat pegawai kumpulan sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih adalah ‘penjawat awam akan menikmati kenaikan pangkat atau gred sekurang-kurangnya sekali sepanjang perkhidmatan’. Itulah kata-kata mukadimah yang disampaikan oleh Dato’ Dr Azhar Bin Hj. Yahaya.

Diantara kandungan didalam taklimat tersebut seperti:

a) Berdasarkan kepada pengumuman Y.A.B Perdana Menteri dalam Majlis Perhimpunan Pekerja Sektor Awam pada 14hb Mei 2009.

b) Perlaksanaan urusan kenaikan pangkat ini telah dimaklumkan melalui Surat Edaran Bil JPA(S)NP.134/1 Klt.19/s.k 2(11) bertarikh 14hb Mei 2009.

Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih, serta masih berada digred lantikan dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa dipertimbangkan kenaikan pangkatke gred lebih tinggi sebagaimana ditetapkan dalam perkhidmatannya secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

Kenaikan pangkat ini terbuka kepada semua Pegawai Kumpulan Sokongan dalam semua Skim Perkhidmatan Gred 1, 3, 11, 17, 27 dan 29. Perlantikan adalah merangkumi semua pekerja yang berkhidmat didalam semua Perkhidmatan Semasa iaitu pekerja dari lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran bagi Perkhidmatan Persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri bagi Perkhidmatan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Kepada semua Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan tindakan yang perlu dilakukan adalah bagi memastikan Pegawai Kumpulan Sokongan dibawah tanggung jawab masing-masing yang layak dipertimbangkan kenaikan pangkat. Kelayakkan seseorang pegawai tersebut hendaklah diperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkaitan dengan merujuk kepada kaedah pelaksanaan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian / Jabatan masing-masing dan diperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat di Kementerian /Jabatan masing-masing.

Perlaksanaan ini adalah tidak meliputi kepada pegawai dalam skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional.

KAEDAH PELAKSANAAN KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI KUMPULAN SOKONGAN YANG TELAH BERKHIDMAT 15 TAHUN DAN LEBIH DALAM SKIM PERKHIDMATAN DAN PERKHIDMATAN SEMASA

1. Pegawai Yang Layak Dipertimbangkan Kenaikan Pangkat Secara Khas Untuk Penyandang (KUP)

1.1 Pegawai Kumpulan Sokongan yang masih berada di gred lantikan dan tempoh perkhidmatannya genap 15 tahun atau lebih dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan yang sama pada atau selepas 1 Julai 2009.

1.2. Pegawai Kumpulan Sokongan yang terlibat dengan opsyen pertukaran pelantikan ke skim perkhidmatan lain atau skim perkhidmatan yang sama tetapi pada gred yang sama berikutan penambahbaikan skim perkhidmatan sebelum, pada atau selepas 1 Julai 2009 dan telah berkhidmat 15 tahun atau lebih sebelum, pada atau selepas 1 Julai 2009 dan tempoh perkhidmatan pegawai dalam skim perkhidmatan sebelum opsyen pertukaran pelantikan diambil kira untuk pertimbangan kenaikan pangkat. Contoh skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pembantu Tadbir (Perkeranian/operasi) Gred N 17 yang ditukar lantik ke Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W17, Penolong Pegawai Laut Gred A29 dan Penolong Jurutera Laut Gred A29 yang ditukar lantik ke Penolong Pegawai Laut Gred A29.

1.3. Pegawai yang sedang berkhidmat dalam Skim perkhidmatan Jumud; dan

1.4. Pegawai Kumpulan Sokongan yang bersara wajib atau meninggal dunia di gred lantikan dan telah berkhidmat 15 tahun atau lebih dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan yang sama tetapi masih berada dalam perkhidmatan sehingga 1hb Julai 2009.

2. Kaedah Penetapan Tarikh Kenaikan Pangkat

2.1 Kaedah penetapan tarikh kenaikan pangkat bagi pegawai yang dinyatakan di perenggan 1 di atas adalah seperti berikut:

a) jika tempoh perkhidmatan pegawai genap 15 tahun atau lebih pada 1 Julai 2009, tarikh kuat kuasa kenaikan pangkatnya adalah pada 1 Julai 2009, sama ada urusan kenaikan pangkat dilaksanakan sebelum, pada atau selepas 1 Julai 2009; atau

b) jika tempoh perkhidmatan pegawai genap 15 tahun selepas 1 Julai 2009, tarikh kuat kuasa kenaikan pangkatnya adalah pada tarikh genap tempoh 15 tahun berkhidmat.

3. Kaedah Perlaksanaan

3.1 Pegawai-pegawai yang dinyatakan di perenggan 1 di atas hendaklah mematuhi semua syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan dan syarat-syarat lain seperti berikut:

a) Pegawai yang masih berkhidmat di gred lantikan dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan yang sama selama 15 tahun dan lebih pada 1 Julai 2009 dan selepasnya bagi tempoh perkhidmatan yang boleh diambil kira, iaitu tidak termasuk tempoh percubaan dengan denda atau cuti yang boleh menjejaskan perkhidmatan sebagaimana yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 4 tahun 2009;

b) memperolehi markah 80% dan ke atas bagi:

i) Laporan Penilai Prestasi Tahunan (LNPT) tiga (3) tahun terkini; atau

ii) LNPT tiga (3) tahun terkini termasuk urusan temuduga (jika perlu)

c) Lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang ditetapkan;

d) telah mengisytiharkan harta berdasarkan peraturan yang sedang berkuat kuasa, bebas dari sebarang tindakan tatatertib, lulus Tapisan Keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bebas daripada senarai peminjam pendidikan tegar daripada institusi pinjaman pendidikan; dan

e) diperakukan oleh Ketua Perkhidmatan / Ketua Jabatan.

3.2 Dari segi pelaksanaannya, pegawai yang telah dinaikkan pangkat secara KUP mengikut kaedah ini boleh ditempatkan semula untuk mengisi kekosongan hakiki jawatan kenaikan pangkat berkenaan mengikut keperluan.

3.3 Pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat secara KUP mengikut kaedah ini dari segi hierarkinya adalah terletak di bawah penyeliaan dan kawalan ketua unit atau penyelia yang mengisi jawatan kenaikan pangkat seperti Gred 22 dan sebagainya, walaupun dari segi gred adalah setaraf dengan gred penyelia atau ketua unit berkenaan.

4. Pegawai yang dinaikkan pangkat mengikut kaedah ini adalah secara KUP atas jawatan hakiki penyandang. Sehubungan dengan itu pihak Ketua Perkhidmatan / Ketua Jabatan hendaklah berurusan dengan Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA bagi mewujudkan jawatan secara KUP