20 June 2017

Mesyuarat Agung Dwitahunan KSKM Cawangan Perak Kali Ke-14

IPOH 10 Mei - Hampir 300 orang ahli Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Cawangan Perak (KSKM) telah menghadiri Mesyuarat Agung Dwitahunan KSKM Cawangan Perak Kali Ke-14 yang bertema 'Dari Ahli Kepada Ahli. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Hamran bin Ahmad, Yang Dipertua KSKM bertempat di Dewan Besar, SMK Jelapang Jaya, Ipoh dekat sini.

   Dalam ucapan perasmian, Haji Hamran menuntut semua pembantu makmal meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dam sekaligus memertabatkan perjawatan pembantu makmal. Sebagai tenaga kerja di sebalik tabir yang menyumbang kepada kejayaan pendidikan teknikal pelajar di dalam makmal, wajar skim perkhidmatan pembantu makmal mendapat pertimbangan untuk dinaiktaraf ke gred lebih tinggi. Ini bersesuaian dengan pendekatan pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di mana ianya bersandarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan disokong oleh Kurikulum Standard Sekolah Malaysia (KSSM) yang kini sedang diaplikasi dalam sistem pendidikan masa kini.

     Mesyuarat Agung Dwitahunan kali ini turut mencatatkan perubahan kepimpinan utama dan mengekalkan sebahagian besar barisan ahli jawatankuasa. Diharap barisan kepimpinan yang dipilih akan meneruskan perjuangan dan membela nasib perkhidmatan pembantu makmal di negeri Perak.

    Acara utama di Mesyuarat kali ini adalah cabutan bertuah, di mana menawarkan sejumlah lebih 300 hadiah yang membabitkan peruntukan lebih RM10,000. Setiap ahli yang hadir tidak pulang dengan tangan yang kosong, malah ada yang memperolehi dua hadiah cabutan. Hadiah utama antaranya terdiri daripada peti sejuk, televisyen led, basikal lipat, microhifi dan berbagai lagi.

Semoga kemeriahan mesyuarat agung dwitahunan akan diteruskan lagi di masa depan.

Kerjasama Kukuh Maju

Lima Dekad Perjuangan!

06 January 2017

2017: Cabaran Mendatang, Pertingkatkan Kualiti Perkhidmatan

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah kita telah pun berada di tahun 2017, sebagaimana yang diketahui perolakan turun naik mata wang Ringgit Malaysia yang kini melepasi RM 4.50 berbanding USD1.00. Sungguh pun begitu, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berhemah dan bijak berbelanja dalam situasi masa kini.

Pada 1 Disember 2016 telah berlangsung Mesyuarat Pemuafakatan Jabatan kali ke-2 tahun 2016 bertempat di Jabatan Pendidikan Negeri Perak, KSKM Perak telah dihadiri oleh saudara Mohd Zainor Hasrin selaku Setiausaha KSKM Perak. Isu berkaitan waran perjawatan, pengisian dan kuota pembantu makmal di negeri Perak telah diusulkan secara bertulis. Dalam mesyuarat yang sama, usul berkaitan tugas pembantu makmal, penempatan pembantu makmal dan pembersihan telah diselesaikan menurut laporan tindakan pihak JPN. Namun KSKM Perak mengalu-alukan sebarang aduan, cadangan, bantahan dan sebarang isu berkaitan pembantu makmal untuk tindakan lanjut.

Pada 19-21 Disember 2016 telah berlangsung Konvensyen Perwakilan Tritahunan Kongres CUEPACS yang berlangsung di Menara PGRM, Cheras. KSKM Perak diwakili oleh 5 orang perwakilan yang merupakan sebahagian dari 43 orang perwakilan keseluruhan KSKM. Persidangan kali ini menyaksikan berlaku perubahan  dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS. Setakat ini tiada isu berkaitan pembantu makmal yang menarik perhatian dalam konvensyen kali ini.

Baru-baru ini telah dikhabarkan bahawa kerajaan melakukan kajian mengenai kemungkinan baikpulih sebanyak 1800 makmal di sekolah-sekolah. KSKM Perak amat berharap saudara saudari proaktif menyalurkan maklumat makmal kepada pentadbir sekolah masing-masing.

Selamat menyambut Tahun Baru, semoga tahun 2017 akan diwarnai dengan kualiti perkhidmatan pembantu makmal yang bertaraf dunia.

Kerjasama Kukuh Maju

KSKM Perak