14 December 2010

KENAPA PTK DIHAPUSKAN ?



CUEPACS syor tumpuan kepada latihan, sistem mata gaji kakitangan awam diubah

JANGKA hayat peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), sistem diperkenalkan lapan tahun lalu untuk menilai kecekapan kakitangan awam hanya berbaki kira-kira tiga minggu lagi. Apa reaksi CUEPACS, kesatuan sekerja mewakili kakitangan sektor itu dan paling lantang mahu PTK dimansuhkan sebelum ini. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH menemui Presiden CUEPACS, Omar Osman dan memperincikan kaedah penilaian yang diguna pakai kerajaan bagi menilai lebih 1.2 juta kakitangannya.
AKHIRNYA desakan CUEPACS supaya PTK dimansuhkan tercapai. Apa sebenarnya punca sistem ini tidak diterima?

CUEPACS pada awalnya akur dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) pada Oktober 2002 kerana kita lihat banyak kebaikan dan pembaharuan. Namun, selepas lima tahun dilaksanakan, kami lihat banyak masalah timbul. Pada awalnya semua lancar dengan kakitangan awam lulus PTK dapat naik pangkat walaupun tanpa kekosongan jawatan dan anjakan gaji, tetapi selepas itu jika lulus PTK pun tiada jaminan naik pangkat walaupun ada kekosongan, malah gaji pun tak dianjakkan. Dalam sesetengah kes, ada yang dapat naik pangkat, tapi tak naik gaji, ada yang naik gaji tapi tak naik pangkat, lebih malang yang lulus PTK pun tak dapat kedua-duanya.

CUEPACS nampak selama lapan tahun PTK berjalan, banyak masalah timbul dan objektifnya tak tercapai malah tiada kajian keberkesanannya dibuat. Kita pernah diminta bagi cadangan penambahbaikan PTK, namun masalah tetap tak selesai, malah menyusahkan lagi kakitangan kerana terpaksa meninggalkan tugas hakiki sebab nak beri perhatian kepada peperiksaan.

Pelaksanaan PTK tak ikut seperti termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam, malah PTK tak menjanjikan naik pangkat kerana terikat dengan kuota jawatan. Dalam sesetengah kes, PTK bukan kayu pengukur kenaikan pangkat kerana ketua jabatan tak luluskan kenaikan itu. Lebih malang jika lulus PTK dan dapat sokongan ketua jabatan pun, tapi prestasi tak cemerlang tak juga dapat naik pangkat. Begitu juga sebaliknya, kakitangan dapat sokongan ketua dan jadi pekerja cemerlang dengan mata 80 peratus ke atas, tapi kerana tak lulus PTK, dinafikan hak naik pangkat. Ini bererti kenaikan pangkat dan anjakan gaji bergantung kepada tiga faktor ini, bukannya PTK saja diambil kira.

Kita nampak masalah dalam SSM menyebabkan ada pekerja junior mendahului pekerja senior. Akibat tak lulus PTK, ada kakitangan berkhidmat 25 tahun tak naik-naik gaji dan pangkat walaupun berpengalaman luas, malah mereka pula mengajar junior yang sudah jadi ketua. Kita juga lihat soalan dikemukakan dalam PTK tak menepati bidang kerja kakitangan. Itu sebabnya ramai tak lulus walaupun praktikal mereka bagus dalam tugas. Penyedia soalan adalah jawatankuasa khas di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, bukan pegawai di jabatan masing-masing.
Tarikh pemansuhan PTK sudah diumumkan iaitu 1 Januari ini, tapi belum ada sistem baru untuk menggantikannya?

Bagi CUEPACS, pemansuhan PTK tepat pada masanya kerana memang ini yang kita harapkan. Kita dapati masalah PTK ini menyebabkan pekerja protes secara senyap, mereka tak lagi bekerja bersungguh-sungguh malah ada yang melanggar disiplin kerana bosan selepas asyik tak lulus periksa atau rasa terpinggir apabila ada rakan yang lulus PTK dapat naik pangkat dan anjakan gaji. Kini ramai yang memuji langkah kerajaan dan berasa lega.

Jadi apa cadangan CUEPACS untuk menilai kakitangan awam?

Kita cadangkan sistem penilaian baru yang mengambil kira pengalaman, produktiviti dan kualiti, bukannya berdasarkan peperiksaan, sokongan ketua jabatan dan penilaian prestasi saja. Ada banyak cara lain untuk mengukur kompetensi kakitangan awam, lebih baik fokus pada integriti. Jika integriti tinggi, prestasi cemerlang dan produktiviti bagus, ada peluang naik pangkat dan gaji terutama badan beruniform dan penguatkuasaan seperti tentera dan polis. Daya kreativiti dan inovatif kakitangan awam juga perlu diambil kira dalam penilaian untuk naik pangkat dan gaji kerana bukan semua boleh berfikiran seperti itu. Disiplin dan kerajinan juga harus diambil kira. Semua itu disekat dalam PTK.

Bagaimana mahu mengelakkan ketidakadilan dalam menilai prestasi kakitangan?

CUEPACS pernah suarakan supaya pandangan pekerja diambil kira sebelum buat sistem baru supaya apabila dilaksanakan nanti, tidak mendatangkan masalah seperti PTK. Kita tak mahu sistem baru nanti mencedok atau menggabungkan sistem lama dengan penambahbaikan saja, kita mahu sistem benar-benar baru yang tidak lompong, lebih adil dan saksama serta tak menyusahkan penjawat awam, membazir wang kerajaan dan membuang masa. Tak perlu ada peperiksaan dan kursus lagi, sebaliknya beri tumpuan kepada latihan meningkatkan kecekapan dan kualiti pekerja. Sekarang saya nampak ada jabatan kerajaan mendapat pelbagai anugerah, namun prestasi pekerja masih rendah, jadi ia tak melambangkan kecemerlangan keseluruhan. Saya pasti kecemerlangan jabatan bergantung kepada kecemerlangan kakitangannya. Justeru, faktor ini juga perlu diambil kira dalam penilaian prestasi pekerja untuk naik pangkat dan anjakan gaji. Kita juga mahu JPA mengkaji penambahan lima tangga mata gaji setiap gred perkhidmatan awam berbanding tiga sekarang bagi mengelak gaji maksimum diterima kakitangan awam untuk tempoh yang lama. Selepas had umur persaraan dinaikkan kepada 58 tahun, sepatutnya sistem mata gaji diubah kerana tempoh perkhidmatan bertambah. Kita tak mahu ada kakitangan berada dalam tahap gaji maksimum terlalu lama. Sekarang ada penjawat awam gajinya tak naik lebih 12 tahun kerana sudah capai maksimum.

Difahamkan sistem penilaian baru nanti akan menepati kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Apa pandangan CUEPACS?

Setiap agensi atau jabatan kerajaan ada hala tuju, matlamat, piagam pelanggan dan sasaran masing-masing. Ketua jabatan juga ada strategi untuk menunjukkan keupayaan jabatan masing-masing. Justeru, saya bersetuju sistem baru nanti perlu menepati KPI. Kita tak mahu KPI jabatan terlaksana dengan jayanya, tapi nasib pekerja tak terbela. Kita tak mahu ada yang kerja 30 tahun, tak dapat naik pangkat. Saya percaya jika sistem penilaian baru nanti dapat menyelesaikan masalah yang wujud, produktiviti perkhidmatan awam dapat ditingkatkan.


Sumber :

BERITA HARIAN
14/12/2010

13 December 2010

JPA perlu berbincang dengan Kesatuan Sekerja sebelum melaksanakan Penilaian Baru.



JPA PERLU BERBINCANG DENGAN KESATUAN SEKERJA SEBELUM LAKSANA PENILAIAN BARU

Bernama
10/12/2010




KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kesatuan dan persatuan pekerja kakitangan awam mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum merangka dan melaksana penilaian baru bagi kakitangan perkhidmatan awam.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata, ini adalah penting untuk mendapatkan pandangan dan pendapat bersama bagi menghasilkan satu sistem penilaian yang terbaik, dan bagi menepati kehendak penjawat awam untuk menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang ditamatkan Januari depan.

Beliau berkata penilaian baru yang akan diperkenalkan diharap satu sistem yang adil dan tidak berkonsepkan peperiksaan yang mana penjawat awam dinilai berdasarkan produktiviti, kreativiti, inovatif dan sumbangan kepada organisasi."Kita tidak mahu orang lihat yang lulus PTK itu saja yang cemerlang walhal orang bawah bertungkus lumus buat kerja, Jadi, saya minta penilaian yang baru nanti menilai penjawat awam sama rata, tidak ada unsur berat sebelah atau pilih kasih, katanya kepada Bernama di sini.JPA baru-baru ini mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2010, yang memaklumkan mengenai pemansuhan PTK berkuatkuasa 1 Jan 2011, dan ia tidak lagi menjadi syarat kenaikan pangkat mulai 1 Jan depan.Pekeliling itu dikeluarkan berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 pada Oktober lepas yang memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk memansuhkan PTK dan menggantikan dengan sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh pegawai awam menjelang Jun tahun depan.

Omar berkata PTK yang diwujudkan tanpa kajian menyeluruh telah mencapai matlamatnya dan sepatutnya sudah lama dimansuhkan memandangkan ramai penjawat awam menolak peperiksaan itu.Untuk itu, beliau berkata penilaian semula yang lebih adil dan saksama perlu diadakan selepas ini.Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri berkata dengan adanya perbincangan antara JPA dan kesatuan, sistem penilaian baru itu nanti akan memenuhi keperluan pelbagai sektor daripada hanya tertumpu kepada pandangan JPA sahaja.Beliau berharap penilaian baru ini tidak berorientasikan peperiksaan lagi seperti PTK yang diperkenalkan kerajaan pada 1 Nov 2002 yang diwujudkan untuk menggalakkan pembangunan diri pegawai perkhidmatan awam melalui pembelajaran berterusan.

Selain itu ia bertujuan meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi, katanya.Hamzah juga berharap penilaian baru ini dapat memberi tumpuan lebih kepada bidang tugas masing-masing dan tidak dibebankan dengan peperiksaan."Penilaian yang melibatkan bidang tugas masing-masing (penjawat awam) lebih sesuai dan lebih tepat. Penjawat awam bukan lagi di peringkat pelajar. Kalau boleh penilaian yang baru ini tidak berbentuk peperiksaan tetapi dinilai mengikut tahap kecekapan bidang masing-masing yang mana lebih berkesan," katanya.-- BERNAMA

10 December 2010

PEKELILING PERKHIDMATAN JPA TERKINI :



PEMANSUHAN PEPERIKSAAN PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN :
Pekeliling Perkhidmatan Bil. 13/2010

Untuk Maklumat Lanjut : ( Sila Klik Disini )


KEMUDAHAN CUTI BERSALIN PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM :
Pekeliling Perkhidmatan Bil. 14/2010

Untuk Maklumat Lanjut : ( Sila klik disini )


Surat Edaran JPA Terkini : PEMANJANGAN KEMUDAHAN INSURANS KESIHATAN KEPADA PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM YANG BERKHIDMAT DI LUAR NEGARA
JPA(S)187/20Klt.7(39)

Untuk Maklumat Lanjut : ( Sila klik disini )