Showing posts with label BERITA MALAYSIA. Show all posts
Showing posts with label BERITA MALAYSIA. Show all posts

26 August 2010

BONUS RAYA BUAT 1.2 JUTA PENJAWAT AWAM




DUIT RAYA

Berita Harian
2010/08/26




PM umum lebih 1.24 juta penjawat awam, 590,000 pesara dapat RM500 sebelum 1 SyawalKUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta kakitangan awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500, sebelum 1 Syawal. Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, keputusan membuat bayaran kepada kakitangan Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu diambil selepas mengambil kira kebajikan mereka, terutama bagi meringankan beban kos persediaan menyambut Aidilfitri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta, iaitu RM639.6 juta bagi kakitangan awam dan RM295 juta bagi pesara.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan kerana pemberian itu dapat meringankan beban mereka bagi menyambut Aidilfitri bulan depan. Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata pemberian itu sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam, katanya. Beliau berharap kerajaan mempertimbangkan bonus lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011, pada 15 Oktober depan. Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zainber meminta kerajaan mengetatkan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga, peruncit dan pengedar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang apabila mendengar kerajaan memberikan bantuan khas itu. Kami berharap kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menaikkan harga barang kerana tiada gunanya bantuan khas ini diberikan kepada kakitangan awam jika peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang, katanya. Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata pihaknya berpuas hati kerana kerajaan tidak meminggirkan pesara. Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan pesara yang pernah berkhidmat kepada negara, katanya. Raja Wan Mahmood berkata, pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara, selain meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

23 January 2010

HINDARI KHABAR ANGIN

JPA nafi potong elaun COLA, ITKA

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan beberapa elaun dinikmati kakitangan kerajaan seperti elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) akan dipotong.

"JPA ingin memaklumkan bahawa tidak ada keputusan kerajaan untuk memotong elaun-elaun seperti COLA dan ITKA," menurut jabatan itu dalam kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan JPA itu sekali gus menyangkal desas-desus yang mengatakan bantuan sara hidup kepada kakitangan awam termasuk COLA dan ITKA akan ditarik sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Sejak beberapa hari lalu, kira-kira sejuta kakitangan awam berada dalam dilema berikutan tersebarnya berita melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun kakitangan awam akan ditarik.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang turut menafikan khabar angin tersebut.

17 September 2009

CUTI KHAS UNTUK KAKITANGAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PADA 18.9.2009 ( JUMAAT )






Dimaklumkan untuk semua Kakitangan di Sekolah dan Institut Pengajian Tinggi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia cuti khas untuk semua Pengetua, Guru-guru, Pelajar dan Staf Sokongan pada 18.9.2009 ( JUMAAT ).

Selamat Bercuti buat semua warga pendidikan di seluruh Malaysia.

Berhati-hati di jalan raya.

10 September 2009

BERSYUKUR WALAUPUN SEDIKIT





Bantuan khas Aidilfitri

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kerajaan mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada kakitangan awam kumpulan sokongan bagi membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Menurutnya, bantuan khas kewangan itu akan memanfaatkan 860,000 kakitangan awam dalam kumpulan tersebut.

“Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tahun lalu, dua juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

02 September 2009

Ada bonus raya ?




PUTRAJAYA 1 Sept. – Ura-ura kemungkinan kakitangan awam akan menikmati bonus sebelum Aidilfitri hangat diperkatakan walaupun Bajet 2010 dijadual dibentangkan pada Oktober ini.

Bayangan mengenai perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah baru-baru ini.

‘‘Ya, saya ada timbulkan pada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua supaya jika dapat dipertimbangkan (pembayaran bonus) dan mereka senyum sahaja.

‘‘Saya yakin senyuman yang diberikan itu akan membawa kegembiraan kepada kakitangan kerajaan yang dijangka menyambut Hari Raya Puasa pada 20 September ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdapat 1.2 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara dengan 75,000 orang pesara yang layak menerima bonus.

Tengku Adnan berkata, saban hari beliau mendengar rayuan daripada kakitangan kerajaan di Putrajaya terutama dari kumpulan sokongan yang berpendapatan kecil.

‘‘Sebenarnya di Putrajaya ramai kakitangan kerajaan yang berjawatan rendah merayu supaya saya bawakan kepada pengetahuan Perdana Menteri supaya dipertimbangkan bonus atau insentif untuk sambut raya.

‘‘Mereka sedar keadaan ekonomi tidak begitu baik tetapi mereka merayulah kalau boleh kerajaan faham mereka juga dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran kenaikan harga barang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Omar Osman berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah pembayaran bonus dibuat sebelum pembentangan bajet.

‘‘Bagaimanapun, CEUPACS amat berharap agar kerajaan akan bagi bonus kepada kakitangan awam supaya dapat menceria dan memeriahkan lagi sambutan hari raya kami,” katanya.

01 September 2009

SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG KE 52 TAHUN

Kekalkan semangat merdeka


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong,Tuanku Nur Zahirah bersama para pemimpin negara termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai ribuan rakyat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 di Dataran Parlimen, semalam.


KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 kali ini disambut secara ringkas, semangat di sebalik sambutan itu kekal seperti tahun-tahun sebelumnya.

Kata Perdana Menteri, apa yang lebih penting ialah ia disambut dalam suasana aman dan harmoni serta harus dipastikan negara terus kekal seperti itu.

"Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 pada tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana pada kali ini kita menyambutnya dalam bulan Ramadan.

"Walaupun ia disambut dalam suasana kesederhanaan, martabatnya tetap sama," katanya melalui perutusan Perdana Menteri dalam buku aturcara sambutan kali ini.

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 dengan tema 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan disambut di pekarangan Parlimen dan berlangsung hampir 40 minit.

Perdana Menteri berkata, penduduk negara ini harus melihat nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini sebagai satu anugerah yang tidak ternilai harganya.

"Kita seharusnya sedar bahawa tanpa sikap penerimaan antara satu sama lain, kita tidak mungkin berada di tahap ini dan dapat menikmati pembangunan serta kemewahan seperti sekarang," katanya.

Tambah beliau, kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa penglibatan semua rakyat Malaysia.

Kata beliau, perpaduan yang wujud mesti terus dipupuk dan dibaja.

"Tanggungjawab ini harus dipikul bersama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa, umur serta latar belakang pendidikan agar perpaduan yang telah terjalin tetap terpelihara.

"Kita harus ingat negara ini bukanlah milik mutlak generasi kini tetapi harus kita pertahankan untuk diwariskan kepada generasi akan datang," katanya.

Justeru Perdana Menteri meminta rakyat agar bersama-sama menginsafi bahawa kejayaan sesebuah negara amat bergantung pada sejauh mana sikap semua warganya secara bersama-sama berganding bahu untuk mempertahan dan menguruskan kemerdekaan dengan tindakan bersepadu yang menyeluruh.

"Akhirnya saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas usaha dan komitmen berterusan bagi memastikan kemerdekaan ini dapat dipertahankan," katanya.