20 June 2017

Mesyuarat Agung Dwitahunan KSKM Cawangan Perak Kali Ke-14

IPOH 10 Mei - Hampir 300 orang ahli Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Cawangan Perak (KSKM) telah menghadiri Mesyuarat Agung Dwitahunan KSKM Cawangan Perak Kali Ke-14 yang bertema 'Dari Ahli Kepada Ahli. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Hamran bin Ahmad, Yang Dipertua KSKM bertempat di Dewan Besar, SMK Jelapang Jaya, Ipoh dekat sini.

   Dalam ucapan perasmian, Haji Hamran menuntut semua pembantu makmal meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dam sekaligus memertabatkan perjawatan pembantu makmal. Sebagai tenaga kerja di sebalik tabir yang menyumbang kepada kejayaan pendidikan teknikal pelajar di dalam makmal, wajar skim perkhidmatan pembantu makmal mendapat pertimbangan untuk dinaiktaraf ke gred lebih tinggi. Ini bersesuaian dengan pendekatan pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di mana ianya bersandarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan disokong oleh Kurikulum Standard Sekolah Malaysia (KSSM) yang kini sedang diaplikasi dalam sistem pendidikan masa kini.

     Mesyuarat Agung Dwitahunan kali ini turut mencatatkan perubahan kepimpinan utama dan mengekalkan sebahagian besar barisan ahli jawatankuasa. Diharap barisan kepimpinan yang dipilih akan meneruskan perjuangan dan membela nasib perkhidmatan pembantu makmal di negeri Perak.

    Acara utama di Mesyuarat kali ini adalah cabutan bertuah, di mana menawarkan sejumlah lebih 300 hadiah yang membabitkan peruntukan lebih RM10,000. Setiap ahli yang hadir tidak pulang dengan tangan yang kosong, malah ada yang memperolehi dua hadiah cabutan. Hadiah utama antaranya terdiri daripada peti sejuk, televisyen led, basikal lipat, microhifi dan berbagai lagi.

Semoga kemeriahan mesyuarat agung dwitahunan akan diteruskan lagi di masa depan.

Kerjasama Kukuh Maju

Lima Dekad Perjuangan!