05 August 2016

KSKM Perak: Isu MPJ, Kursus Amali

Assalamualaikum w,b,t

KSKM Perak sungguh bertuah kerana tahun 2016 merupakan tahun yang cukup bermakna di mana berbagai aktiviti yang membabitkan KSKM Perak telah disempurnakan dengan jayanya. Dalam mengekalkan konsep muhibbah dan pendekatan 'dari ahli kepada ahli' masih terdapat berbagai-bagai ruang dan medium yang perlu diberi perhatian.

Rentetan itu, pada 1 Jun 2016 yang lalu telah berlangsung Mesyuarat Pemuafakatan Jabatan yang dihadiri Pengarah JPN, Ketua-ketua Sektor, Pegawai PPD seluruh Perak,  wakil kesatuan sekerja serta wakil majlis guru cemerlang. KSKM Perak diwakili saudara Setiausaha di mesyuarat berkenaan telah mengemukakan 4 isu utama yang membabitkan perjawatan dan kepentingan pembantu makmal khususnya di negeri Perak. Isu-isu berkenaan telah diterima dan diminitkan untuk tindakan selanjutnya dari Sektor dan Unit di JPN Perak.

Bermula pertengahan Mei 2016 pula telah berlangsung sebanyak 12 siri Kursus Amali Pembantu Makmal yang disempurnakan oleh barisan Jurulatih Utama Negeri. Kursus ini pada asasnya menumpukan pada pembantu makmal yang belum atau tidak terbabit dengan kursus amali yang diadakan sebelum ini.

Sungguh pun masih ada di kalangan pembantu makmal yang tidak dipanggil untuk kursus kali ini, ini bukanlah bermakna anda disisihkan tetapi peruntukan awal yang diwarankan hanya mencukupi untuk kira-kira 960 orang peserta berbanding 1200 orang pembantu makmal di negeri Perak.

Insyaallah, baki peserta yang belum mengikuti kursus akan dipanggil menghadiri kursus berikutan terdapat peruntukan waran tambahan sebanyak RM14000 sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak JPN. KSKM Perak mengharapkan saudara-saudari yang berkenaan dapat memaklumkan jawatankuasa pengelola daerah masing-masing agar rekod dapat dikemaskini di peringkat KSKM Perak sebelum dipanjangkan kepada pihak JPN Perak.

" Moh Kita Bersama-sama Sebagai Ahli KSKM"