05 November 2009

SALAH DI SEGI MORAL UNTUK MEMINTA BONUS - NAJIB



SALAH DI SEGI MORAL UNTUK MEMINTA BONUS - NAJIB

Bernama
4/11/2009

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri berkata adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus kerana negara ini masih bergelut untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan ramai pekerja di sektor swasta dibuang kerja.

"Adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus apabila ekonomi belum pulih. Saya sentiasa memberitahu Ceupacs (Presiden Omar Osman) bahawa ia tidak boleh bertindak seperti kesatuan sekerja, setiap kali meraung meminta bonus (setiap kali pembentangan bajet) kerana anda mahu menjadi (kekal) popular di kalangan ahli anda," katanya.

Cuepacs, badan induk bagi kesatuan pekerja sektor awam, kini mendesak kerajaan untuk mendapatkan bonus dua bulan bagi 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

"Di dalam sektor swasta, pekerjanya dibuang kerja dan ia tidak berlaku di dalam perkhidmatan kerajaan.

"Bagaimana pun, itu tidak bermakna pekerja cemerlang tidak boleh diberi ganjaran tetapi malangnya sistem sedemikian tidak diwujudkan.

"Jika kita ada sistem yang memotivasikan mereka, tenaga kerja awam juga boleh meningkat untuk menjadi pekerja berprestasi tinggi. Kita sepatutnya memberi ganjaran kepada mereka.

"Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka menjadi yang kedua terbaik, tingkatkan prestasi mereka.

"Benar, sesuatu bantuan yang kecil perlu dihulurkan," katanya, sambil menyatakan bahawa "ia seperti permainan golf, sedikit handicap, tetapi mereka perlu mengurangkan lebih masa, dari 24 kepada 18, 12 dan kemudiannya satu angka dan bersaing secara setara dengan pekerja lain.

"Ia juga sama dengan Bumiputera; dari masa ke semasa mereka perlu mengurangkan handicap masing-masing.

"Anda tidak boleh berada pada 24 sepanjang masa. Saya mengimpikan satu hari nanti apabila Bumiputera berupaya bersaing dengan sesiapa pun yang tiada handicap. Hari itu akan tiba. Jadi, kita kurangkannya perlahan-lahan.

Bukan Bumiputera merasakan sistem semasa tidak adil tetapi saya jadikannya lebih adil. Setiap rakyat Malaysia akan dilayan dengan adil di negara ini," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, semasa berucap di Forum Majlis makan Tengah Hari Perniagaan Bankers' Club.

Dua pakej rangsangan RM67 bilion kerajaan telah membantu menampan kesan kemelesetan ekonomi global.

Sehubungan itu, ekonomi negara ini dijangka mengecut hanya 3.0 peratus pada tahun ini, iaitu lebih rendah daripada unjuran lebih awal iaitu penguncupan sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini dijangka mengembang kira-kira 3.0 peratus pada tahun depan.

Kerajaan telah mengambil langkah berani untuk mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan pada tahun depan kepada 5.6 peratus berbanding 7.4 peratus tahun ini.

--BERNAMA