21 August 2009

TAZKIRAH RAMADHAN



Bulan Ramadhan kedatangannya dinanti , perginya ditangisi


Assalamualaikum,


Bulan Ramadhan Al-Mubarak adalah dipenuhi dengan keberkatan, keampunan dan ganjaran syurga yang dijanjikan untuk orang bertaqwa tanpa mengira fahaman politik. Kedatangannya sentiasa dinantikan oleh orang-orang beriman dan perginya akan diratapi dengan tangisan. Kita sewajarnya berasa bersyukur kerana bulan ini Allah S.W.T mencurahkan kebaikan Nya untuk segenap hamba yang beriman.

Dalam bulan ini, para sahabat dan salafus-soleh terdahulu berlumba-lumba melakukan kebaikan, menambahkan amal ibadat dan memberikan infaq kepada anak yatim serta golongan memerlukan. Ada segelintir diantara kita yang kurang peka atau sedikit jahil terhadap amalan dan tindakan yang boleh merugikan amal puasa kita.

Pada kali ini ingin saya membicarakan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa. Diantaranya :


1. Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup melakukan solat. Ada yang berpuasa tetapi meninggalkan solat atau hanya solat dalam bulan Ramadhan sahaja. Kita amat bimbang nanti puasa dan sedekahnya tidak bermanafaat kepadanya kerana solat adalah tiang agama. Ada juga dikalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak melakukan solat fardu.

2. Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta tidak menutup aurat. Kaum lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan wanitanya pula tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah.

3. Menghabiskan masa menonton televisyen dan DVD. Sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan yang lalu. Sepatutnya kita mengandakan bacaan Al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan membantu insan yang memerlukan.

4. Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli yang tinggi. Semuanya dirasakan hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan.

5. Tidak membayar zakat fitrah bukan kerana tidak mampu tetapi kurang pendedahan terhadap betapa pentingnya zakat dan kewajipan membayar zakat.

6. Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengakibatkan gangguan kepada para jemaah yang menunaikan solat tarawih di Surau dan Masjid. Sebaiknya galakkan anak solat tarawih dan tilawah Quran bersama.

7. Hanya puasa makan dan minum sahaja tetapi tidak menjaga anggota pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa.

8. Tidak mahu bersahur boleh mengurangkan berkat dan pahala puasa kerana tidak menurut wasiat Rasulullah yang bersabda :

" Sahurlah kamu kerana sahur ini ada berkat " Riwayat Bukhahri & Muslim.

Akhir kata, semoga kita dapat memperbaiki amalan puasa dan menjadikan puasa kita di Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lalu.

Berjumpa lagi dikeluaran akan datang.

Wassalam.



Tazkirah Ramadhan ini dipetik dari Buletin An-Nur SMKKDAS, Ipoh oleh Ustaz Wan Ahmad Salahudin.