02 September 2015

Kunjungan Muhibah KSKM Perak ke Jabatan Pendidikan Negeri Perak

IPOH, 1 September - Jawatankuasa KSKM Cawangan Perak sesi 2015 -2017 telah melakukan kunjungan muhibah ke Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Kunjungan berkenaan bertepatan dengan matlamat dan hasrat KSKM Perak dalam memperkukuhkan perhubungan dan interaksi di antara kesatuan sekerja dan JPN Perak. Jawatankuasa KSKM Perak yang dihadiri oleh semua AJK bertemu dan mengajukan persoalan yang berkaitan akar umbi kepada Tuan Haji Rozi b Puteh Ismail, Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Perak. 

Dalam respon kepada soalan yang diajukan, Tuan Hj Rozi b Puteh Ismail menyatakan komitmen JPN Perak dalam membantu meningkatkan kompetensi pembantu makmal. Beliau turut meminta agar pembantu makmal menimba pengetahuan dan kemahiran terutama berhubung kait amali Sains. Ujarnya, JPN Perak sedia mempertimbangkan dan mendapatkan peruntukan khususnya berkaitan persediaan amali pada masa akan datang. KSKM Perak turut diminta memainkan peranan yang lebih proaktif dengan mengumpul data pembantu makmal yang masih belum mengikuti kursus amali yang telah dianjurkan di UPSI baru-baru ini.

Ditanya mengenai penugasan pembantu makmal selain di makmal, beliau menjelaskan pihak berkaitan perlu memahami jenis lantikan sesuatu perkhidmatan sama ada ianya gunasama atau sebaliknya. Tuan Haji Rozi b Puteh Ismail turut mengingatkan sebagai penjawat awam kita perlu bersyukur dengan rezeki yang diperolehi, bahkan penjawat awam perlu bekerja lebih kuat dalam menjayakan dasar pendidikan.

Pertemuan berakhir pada jam 3.35 petang.