11 May 2010

ANUGERAH KESATUAN CONTOH SEKTOR AWAM BUAT KSKM PUSAT



Perdana Menteri Dato'Sri Najib Tun Abdul Razak sendiri menyampaikan Hadiah kepada Presiden dan S/U Agung KSKM Pusat.

Gambar ini ehsan dari KSKM Melaka.

Majikan perlu utamakan pekerja tempatan: Najib
Oleh Rohaniza Idris dan Mohd Azis Ngah
bminggu@bharian.com.my
2010/05/09

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua majikan mementingkan pengambilan pekerja tempatan dan memberi keadilan serta upah yang wajar, bukannya mencari jalan mudah dengan membawa pekerja asing menguasai pasaran kerja di negara ini.
Perdana Menteri berkata, majikan sepatutnya mencari jalan bagaimana mahu meningkatkan produktiviti pekerja tempatan.

“Adalah tidak wajar pekerja tempatan diabaikan. Jangan salahkan kerajaan jika kita tidak meluluskan tambahan pengimportan pekerja asing. Kita nak lihat bagaimana pekerja tempatan boleh diberi keutamaan dalam pertimbangan majikan mengambil pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di Mines Resort City, Seri Kembangan di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Timbalannya, Datuk Maznah Mazlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Najib dalam amanatnya kepada 8,000 pekerja berkata, Malaysia antara negara yang terbaik dari segi rekod perhubungan perusahaan berbanding kebanyakan negara lain di dunia.
“Pencapaian itu kerana pekerja di negara ini tidak melihat semata-mata dari sudut kepentingan pekerja saja, tetapi mengambil kira dan sentiasa membuat pertimbangan bagaimana dan apa yang dikehendaki dan dituntut oleh mereka itu munasabah, wajar dan mampu disediakan pihak majikan mahupun kerajaan.

“Ia juga berlandaskan prinsip muafakat yang mana wujud pemuafakatan antara pekerja, majikan dan kerajaan. Hubungan tiga penjuru ini menjadi titik pertemuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul dengan semua pihak mengutamakan suasana kerja yang lebih positif dan kondusif,” katanya.

Najib berkata, dengan pendekatan pemuafakatan itu, negara akhirnya berjaya melepasi cengkaman krisis ekonomi global yang hebat sedangkan bukan semua negara berada pada landasan pemulihan kukuh seperti yang dilalui Malaysia.

Malah katanya, semalam (kelmarin) bursa saham seluruh dunia terganggu kerana krisis pinjaman yang terlalu tinggi di Greece, iaitu sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikategorikan sebuah negara maju, tetapi mengalami krisis ekonomi dan tidak mampu ditangani mereka sehingga kini.

“Alhamdulillah, negara kita kini pulih daripada krisis berkenaan berkat rancangan dan dasar kerajaan yang tegas serta wujudnya permuafakatan antara pekerja dalam sektor awam dan swasta yang faham kedudukan kerajaan. Tahun lalu ada kita dengar mereka membuat pelbagai tuntutan, tetapi bila kerajaan kata tunggu tahun ini, kerana bukan tahunnya (buat tuntutan), mereka faham. Mereka kata tak apalah kita terima,” katanya.

Najib berkata, jika pemulihan ekonomi semakin rancak, beliau sebagai ketua kerajaan mengamalkan sikap bahawa pekerja patut mendapat upah, gaji dan imbuhan yang lebih tinggi.

KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Institut Kemahiran Mara Lumut, Albakri Alias semalam dipilih sebagai penerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2010 sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2010 di sini.

Anugerah itu adalah antara sembilan kategori anugerah yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan kira-kira 8,000 warga pekerja awam dan sektor swasta sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam perkhidmatan.

Albakri, yang memperoleh pendidikan di Britain, merupakan pakar dalam bidang bangunan dan pembinaan dan aktif dalam persatuan.

Sementara itu, guru Komputer di Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang Teh Kar Wei pula menerima Anugerah Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) Cemerlang (Penerima Pertama), Eksekutif Bank Rakyat Norlita Hanim Md Taha (penerima kedua Anugerah Pekerja OKU Cemerlang) manakala Pembantu Penguatkuasaan di Majlis Bandaraya Johor Baharu, Subhi Saad (penerima ketiga Anugerah Pekerja OKU Cemerlang).


Anugerah Majikan Prihatin (syarikat besar) dimenangi Telekom Malaysia Berhad dan Anugerah Majikan Prihatin (Enterpris Kecil dan Sederhana) kepada MM Vitaoils Sdn Bhd yang beroperasi di Shah Alam.

Selain itu, Anugerah Majikan Berdaya Saing (syarikat besar) kepada Proton Holdings Bhd, Anugerah Majikan Berdaya Saing (Enterpris Kecil dan Sederhana) kepada Polydamic Holdings Sdn Bhd, Ipoh.

Anugerah Ladang Bahagia yang pertama kali diperkenalkan dimenangi Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (sektor awam) kepada Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Kementerian Pendidikan Semenanjung Malaysia, manakala Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (sektor swasta) kepada Kesatuan Pekerja-pekerja Penang Port Sdn Bhd.