Berita Harian
9/12/2011
2011/12/09 JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan penjawat awam yang berpengalaman dan cemerlang tetap diberi keutamaan bagi mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam walaupun dasar Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan 1 Januari depan turut membuka ruang kepada ‘orang luar’.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata pengambilan orang luar hanya dilakukan apabila keadaan sangat diperlukan tetapi masih tertakluk kepada penilaian dan saringan ketat. > Jaminan ini melegakan penjawat awam, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja dalam Sektor Awam (CUEPACS) yang sebelum ini bimbang orang luar akan diambil mengisi jawatan tertentu dan menganaktirikan penjawat awam berpengalaman serta cemerlang untuk mengisi jawatan gred utama. Menurut amalan sekarang, hanya penjawat awam yang benar-benar cemerlang serta mempunyai pengalaman luas diberikan kenaikan pangkat menerajui jawatan gred utama. Amalan ini wajar diteruskan kerana mereka memahami selok belok perundangan, prosedur dan peraturan sektor awam.
Penjawat awam optimis SBPA yang akan dilaksana tahun depan berupaya melakukan transformasi mengubah penjawat awam menjadi pekerja berminda kelas pertama untuk meningkatkan produktiviti setimpal pemberian kenaikan gaji.
Dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan kerajaan juga bersetuju memberi peluasan kemudahan cuti belajar bergaji penuh kepada pegawai kumpulan pelaksana mengikuti latihan kemahiran di bawah program ‘Skills Malaysia’.
SBPA ini turut membuat semakan dan unjuran tangga gaji sebaris berbanding tiga baris yang diperkenalkan sebelum ini dan pada masa sama, menyediakan laluan kerjaya lebih menarik kepada penjawat awam dengan tempoh kenaikan pangkat dipendekkan, tidak tertakluk kepada kekosongan.
Adalah menjadi harapan supaya dengan pelaksanaan SBPA ini kakitangan awam dapat meningkatkan produktiviti ke suatu tahap yang tinggi, berprestasi tinggi serta membudayakan cara bekerja baru.