20 October 2010

Cuepacs Tetap Mahu Kerajaan Pertimbang Pemberian Bonus Dua Bulan


Tuan Presiden Cuepacs, Tn. Hj. Omar Bin Osman mempengerusikan mesyuarat khas ini.
En Ashaari Maarof S/U Agung KSKM Pusat turut menyertai mesyuarat khas ini


CUEPACS TETAP MAHU KERAJAAN PERTIMBANG PEMBERIAN BONUS DUA BULAN

Bernama
19/10/2010


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama)-- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi memohon supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini.
Presidennya, Omar Osman berkata berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus tahun ini, beliau yakin kerajaan mampu berbuat demikian.

"Pertumbuhan KDNK negara kita telah melonjak kepada 10.5 peratus dan keadaan ekonomi negara sedang mantap, jadi tidak mustahil perkara itu (bonus) dapat dilaksanakan.
"Kita turut menghantar satu telegram kepada Perdana Menteri petang ini bagi menyatakan hasrat kita (supaya) dapat berjumpa beliau dengan harapan kerajaan dapat mempertimbangkan semula pemberian bonus itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs kali ke-11 di Wisma Cuepacs hari Selasa.
Seramai 135 perwakilan kongres, termasuk dari Sabah dan Sarawak, menghadiri mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, tidak mengumumkan bonus kepada kakitangan awam, sebaliknya memberi bantuan kewangan khas sebanyak RM500 bagi Gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan, bagi menampung perbelanjaan persiapan sekolah.
Omar berkata tuntutan pemberian bonus telah dibuat sejak beberapa tahun lepas, namun ditolak kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika itu.

Beliau yang berterima kasih di atas pemberian bantuan kewangan khas itu, masih berharap kerajaan dapat memberikan sekurang-kurangnya sebulan bonus.
Ditanya mengenai pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan digantikan dengan sistem penilaian baru, Omar berkata, Cuepacs menyambut baik pengumuman itu, namun berharap mereka akan dipanggil berbincang mengenai penggubalan sistem baru tersebut.
"Kita berharap pada Julai 2011 nanti, sistem penilaian baru yang baik dapat diwujudkan, dan wakil dalam Cuepacs turut dipanggil bagi berbincang apakah sistem yang terbaik bagi penambahbaikan dalam perkhidmatan awam pada masa kini," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa PTK yang bakal diadakan bulan ini, tetap diteruskan sehingga satu sistem penilaian baru diwujudkan pada Julai tahun depan.
-- BERNAMA

01 October 2010

CUEPACS YAKIN KERAJAAN AKAN MEMBERI BONUS TAHUN INI.



CUEPACS yakin kerajaan beri bonus

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACS) yakin kerajaan akan mempertimbangkan permintaan rakyat untuk mendapatkan bonus pada input belanjawan 2011 nanti.

Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya berharap kerajaan akan terus membantu dan mempertimbangkan permintaan tersebut untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memberitahu, pihaknya sudah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa bulan lalu memohon bonus dua bulan gaji untuk kakitangan awam dan pesara tahun ini.

"Dengan keadaan ekonomi yang menunjukkan peningkatan sekarang ini, kerajaan seharusnya mempertimbangkan permintaan tersebut dan jika tidak boleh diberikan bonus dua bulan gaji, CUEPACS berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya sebulan gaji.

"Kakitangan awam merupakan tunjang kepada pembangunan negara, dengan itu saya harap tiada pihak yang mempertikaikan dan menafikan tuntutan pemberian bonus kepada penjawat awam," katanya ketika dihubungi di sini semalami.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keyakinan CUEPACS mengenai saranan pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang meminta bonus kepada kakitangan kerajaan, pengurangan faedah kad kredit dan pinjaman perumahan kerajaan serta pelepasan cukai.

Menurut Omar, permintaan tersebut mampu menyuntik semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik dan bermutu selain meringankan beban tanggungan 1.2 juta kakitangan awam.

Selain itu katanya, sudah tiba masanya kerajaan memberikan bonus kepada kakitangan awam kerana sudah dua tahun mereka tidak menerima bonus kecuali pemberian saguhati.

"Pemberian saguhati sebelum hari raya baru-baru ini pula bukan diterima semua penjawat awam seperti pegawai-pegawai atasan.

"CUEPACS yakin kerajaan tidak akan membiarkan kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berasa terbeban pada tahun ini," katanya.