26 August 2010

BONUS RAYA BUAT 1.2 JUTA PENJAWAT AWAM




DUIT RAYA

Berita Harian
2010/08/26




PM umum lebih 1.24 juta penjawat awam, 590,000 pesara dapat RM500 sebelum 1 SyawalKUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta kakitangan awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500, sebelum 1 Syawal. Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, keputusan membuat bayaran kepada kakitangan Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu diambil selepas mengambil kira kebajikan mereka, terutama bagi meringankan beban kos persediaan menyambut Aidilfitri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta, iaitu RM639.6 juta bagi kakitangan awam dan RM295 juta bagi pesara.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan kerana pemberian itu dapat meringankan beban mereka bagi menyambut Aidilfitri bulan depan. Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata pemberian itu sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam, katanya. Beliau berharap kerajaan mempertimbangkan bonus lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011, pada 15 Oktober depan. Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zainber meminta kerajaan mengetatkan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga, peruncit dan pengedar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang apabila mendengar kerajaan memberikan bantuan khas itu. Kami berharap kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menaikkan harga barang kerana tiada gunanya bantuan khas ini diberikan kepada kakitangan awam jika peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang, katanya. Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata pihaknya berpuas hati kerana kerajaan tidak meminggirkan pesara. Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan pesara yang pernah berkhidmat kepada negara, katanya. Raja Wan Mahmood berkata, pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara, selain meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

17 August 2010

PEKERJAAN SEPARUH MASA

MEKANISME BENARKAN PEKERJA LAKUKAN KERJA SEPARUH MASA PERLU KAJIAN TELITI - CUEPACS

Bernama
17/8/2010



PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Mekanisme yang membenarkan petugas dalam sektor awam dan swasta bekerja separuh masa mulai 1 Okt tahun ini perlu dikaji dengan teliti bagi memastikan produktiviti dan prestasi pekerja tidak terjejas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata kebenaran itu akan memberi manfaat besar kepada golongan pekerja khususnya kakitangan awam kerana berpeluang menambah pendapatan mereka, tetapi ia perlu dikaji daripada segenap aspek agar tidak memberi masalah di kemudian hari.

Keputusan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi produktiviti dan prestasi pekerjaan sebenar petugas terbabit, apatah lagi jika mereka memperoleh pendapatan yang lebih lumayan dalam kerja separuh masa itu berbanding gaji yang diperoleh daripada pekerjaan tetap, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Sri Perdana di sini Isnin malam.

Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam hari ini bahawa lebih satu juta pekerja sektor awam dan swasta akan dibenarkan melakukan kerja separuh masa selepas peraturan baru mengenainya siap digubal dalam masa dua bulan lagi.

Omar berkata tindakan itu perlu disusuli dengan pemerhatian teliti dalam segenap aspek, termasuk perlindungan ke atas pekerja sewaktu melakukan kerja separuh masa berkenaan.

"Kita nak tahu, sekiranya kakitangan awam ini ditimpa kemalangan sewaktu sedang melakukan kerja separuh masa, adakah mereka tertakluk dalam insurans dan pampasan oleh majikan sebenar atau majikan separuh masa mereka," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Cuepacs meminta agar kerajaan memberi bantuan kewangan kepada penjawat awam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, Omar berkata perkara itu telah pun dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya telah sampaikan kepada Perdana Menteri tadi, meminta jasa baik kerajaan untuk memberi pendahuluan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 kepada kakitangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Seperti yang diketahui, gaji pada bulan Ogos telah digunakan untuk persiapan menyambut Ramadan, justeru sedikit bantuan kewangan amat diperlukan bagi membolehkan persiapan lebaran dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

11 August 2010

PTK PATUT DI KAJI SEMULA




CUEPACS MINTA JPA SEMAK KAEDAH PEPERIKSAAN PTK

Bernama
Oleh Noor Hayati Muda
7/8/2010





KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan memorandum kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyemak semula peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi memastikan ia relevan dengan hasrat kerajaan.

Presidennya Omar Osman berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, matlamat PTK tidak tercapai sepenuhnya selain boleh mengekang aspirasi kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Daripada apa yang kita dapat, ramai penjawat awam tidak berpuas hati dengan PTK kerana ada yang cemerlang melaksanakan tugas hakiki tetapi tidak diiktiraf prestasi mereka kerana gagal melepasi syarat PTK.

"Dalam pada itu, ada pula yang tidak seberapa (prestasi) tapi disebabkan lulus PTK, dinaikkan pangkat. Ini menyebabkan yang lain patah semangat khususnya mereka yang tidak lulus," katanya kepada Bernama.

Diperkenalkan pada November 2002, peperiksaan PTK bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya yang layak menerima pengiktirafan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan PTK juga tidak selaras kerana bukan semua jabatan kerajaan menjalankan peperiksaan sebaliknya menghantar penjawat berkursus dan melakukan pembentangan yang disifatkan lebih sesuai dengan taraf profesionalisme yang diinginkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kalau difikirkan, bila masa mereka mahu mengulang kaji sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu melaksanakan tugas hakiki selain menguruskan hal peribadi. Malah saya difahamkan ada yang mengabaikan tugas untuk mengulang kaji semasa waktu kerja semata-mata untuk lulus PTK," katanya.

Omar berkata budaya mengampu ketua jabatan boleh diatasi jika urusan anjakan gaji dan kenaikan pangkat dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang tidak berkepentingan.

"Jabatan boleh melantik dua atau tiga orang yang tidak berkepentingan untuk menilai prestasi warganya, iaitu ketua jabatan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk kenaikan pangkat," katanya.

Omar juga tidak menolak pandangan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan PTK turut melibatkan pembaziran masa dan kos kerana mereka yang berkenaan harus mengikuti kursus sebelum menduduki peperiksaan, selain kos untuk mengendalikan PTK itu sendiri.

Pandangan Omar dikongsi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan yang bersetuju dengan pendapat bahawa mereka yang berkhidmat di sektor awam dibebani dengan peperiksaan.

Beliau berkata sewajarnya kerajaan mempermudahkan kenaikan gaji dan gred penjawatnya terutama yang telah berkhidmat puluhan tahun dan hampir bersara namun masih di takuk lama sekalipun terbukti mereka cemerlang ketika bertugas.

Hashim berkata walaupun PTK digubal untuk tujuan yang baik iaitu mengelakkan unsur pilih kasih dan memastikan hanya yang layak diiktiraf, pelaksanaanya menyebabkan ada yang tertindas.

"Tidak semua antara kita pintar semasa di sekolah tetapi lain pula keadaannya ketika telah bekerja. Justeru konsep peperiksaan dalam PTK ini sudah tidak sesuai digunakan bagi menentukan prestasi seseorang penjawat awam," katanya.

Seperti dalam sektor am, beliau berkata ada anggota yang gagal menginjak pangkat kerana gagal melepasi peperiksaan sekalipun prestasinya sebagai penguatkuasa undang-undang cemerlang.

-- BERNAMA

04 August 2010

TAZKIRAH RAMADHAN 1431 H

Fadhilat Ramadhan


Assalamualaikum pada semua sahabat.....Alhamdullilah bulan yg kita nanti kan datang kembali memberi harap kepada kita utk lebih beramal pada bulan ramadhan dan insyALLAH kita akan di berikan ganjaran yg tinggi daripada YANG MAHA ESA......disini saya sertakan fadilat Ramadhan untuk memperingatan utk diri saya dan semua sahabat saya insyALLAH.
Adab berpuasa dan solat terawih
Orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya.
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia.
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan.
Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.
”As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat.
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.
Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)