26 August 2009

WABAK SELSEMA BABI H1N1

Selesema babi pandemik paling buruk dunia


Pada 11 Jun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan pandemik H1N1 telah berada di tahap enam, menjadi pandemik global pertama sejak selesema Hong Kong pada 1968.


Percaya atau tidak, walaupun dengan hanya 27 juta penduduk, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kes selesema babi paling tinggi di dunia.

Malah sehingga Selasa lepas, kita menduduki tempat kelapan jumlah kematian tertinggi dunia ekoran wabak maut itu dengan 67 kematian dari 4,225 kes disahkan positif.

Pandemik selesema babi ialah satu wabak terkini yang melanda penduduk dunia secara besar-besaran. Wabak ini adalah ekoran jangkitan strain baru daripada virus selesema Influenza A, subjenis H1N1.

Sebagai perbandingan, sehingga Selasa lepas, seluruh dunia mencatatkan 242,872 kes yang disahkan positif manakala angka kematian telah mencecah seramai 2,267 orang.

Amerika Syarikat mencatatkan jumlah kes positif dan kematian paling tinggi iaitu 46,948 kes dengan 477 kematian.

Ia diikuti Argentina, Brazil, Mexico, Australia, Chile, Thailand, Malaysia, Kanada dan Britain.

Bagaimanapun Jerman, Jepun dan China masing-masing mencatatkan kes positif seramai 11,103 orang, 5,022 orang dan 2,350 orang tetapi masih belum ada kematian yang dicatatkan.

Selesema Spanish 1918

Sepanjang abad ke-20, strain virus influenza A adalah punca tiga pandemik selesema terbesar dunia, iaitu selesema Spanish pada tahun 1918, selesema Asia pada 1956 hingga 1958 dan selesema Hong Kong pada 1968 hingga 1969.

Seluruh dunia, dianggarkan sehingga satu bilion orang dijangkiti selesema Spanish yang telah menyebabkan anggaran jumlah kematian sehingga 100 juta orang.

Pandemik influenza A terkini pertama kali dikenalpasti pada April 2009 bermula di Mexico, dipercayai ia telah menular beberapa bulan sebelum itu sebelum ia dikenalpasti sebagai satu wabak.

Justeru, kerajaan Mexico mengambil langkah menutup hampir semua pejabat dan kemudahan awam serta swasta di seluruh bandar Mexico sebagai langkah membendung wabak tersebut.

Ia merebak dengan mudah di hemisfera selatan ekoran ia berada di musim selesema musim sejuk dan negara-negara membangun yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan terhad.


virus ini telah menyerang ratusan ribu mangsa di seluruh dunia dalam masa beberapa bulan sahaja.


Penularannya secara mendadak menyebabkan selesema babi diistiharkan sebagai pandemik dunia pada 11 Jun lepas.

Biasanya, ia merebak melalui batuk, bersin dan sentuhan permukaan yang tercemar. Simptomnya serupa dengan selesema biasa termasuk demam, bersin, sakit tekak, sakit kepala dan sakit-sakit sendi yang biasanya kekal selama seminggu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mendapati kebanyakan kematian melibatkan mereka yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah atau masalah kesihatan seperti asma, obesiti atau penyakit jantung.

Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal perubatan New England Journal of Medicine mendapati 94 peratus daripada pesakit yang disahkan positif menghidap selesema babi mendapat demam panas, manakala 92 peratus pesakit mendapat batuk.

Mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi serius termasuk warga tua yang berusia melebihi 65 tahun, kanak-kanak yang berusia kurang lima tahun, wanita mengandung.

Data CDC menunjukkan lebih 70 peratus daripada kes yang dimasukkan ke hospital ialah mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Di awal penyebarannya, kebanyakan kes di luar Amerika Utara berpunca dari lawatan ke AS dan Mexico, bagaimanapun penyebaran di dalam negara telah dilaporkan di sekurang-kurangnya 89 negara seawal bulan Jun.

Media seluruh dunia menggelarkan influenza ini sebagai selesema babi kerana virus terbaru itu adalah sejenis influenza yang berasal dari strain virus yang terdapat di kalangan haiwan tersebut. Walaupun, pegawai rasmi kesihatan antarabangsa telah mengesahkan bahawa daging babi selamat dimakan, beberapa dozen negara masih mengharamkan import daging babi dari AS.

Terlepas pandang

Terdapat juga pakar yang mendakwa pegawai rasmi kesihatan seluruh dunia telah terlepas pandang akan risiko kumpulan babi sebagai penyebab strain influenza baru, sedangkan tumpuan yang lebih banyak telah diberikan kepada ancaman selesema burung.

Penyelidik berpendapat perdagangan babi hidup di antara Eurasia dan Amerika Utara telah membantu mencampuradukkan strain-strain berlainan virus influenza babi sehingga menyebabkan pembentukan strain virus H1N1 yang terbaru.

Tambahan pula, virus influenza H1N1 kali ini disifatkan oleh pakar virologi dari Universiti Hong Kong, Guan Yi, sebagai sangat tidak stabil yang bermakna ia boleh bercampur dan memindahkan bahan genetik apabila terdedah dengan virus lain memudahkannya untuk bermutasi.

Malah pandemik terbaru ini juga menyebabkan para penyelidik mengesyaki punca utama wabak 2009 ialah kekurangan pemantauan daripada industri babi memandangkan penternakan haiwan itu terlalu diindustrikan.

Terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa jumlah jangkitan baru di hemisfera selatan kelihatannya telah memuncak dan kemudiannya mula berkurang di negara seperti Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Bagaimanapun, badan itu mendapati penularan virus itu semakin aktif dengan jangkitan baru yang semakin meningkat di negara-negara Asia termasuk Thailand, India, Vietnam dan Malaysia.

Memandangkan virus tersebut boleh merebak dengan mudah, sama ada melalui udara atau sentuhan, mereka yang dijangkiti sewajarnya dikuarantin di rumah dengan tidak ke sekolah, ke tempat kerja atau tempat-tempat awam.

CDC mencadangkan orang ramai yang mengalami tanda-tanda selesema untuk tinggal di rumah selama tujuh hari dan jangan keluar atau kembali ke pejabat atau sekolah sehinggalah 24 jam selepas sihat sepenuhnya.

Dalam usaha mengawal penularan selesema babi, beberapa negara terutama Asia telah mengenakan arahan kuarantin terhadap penumpang kapal terbang yang mempunyai simptom selesema, malah ada negara yang mewajibkan pemeriksaan kepada penumpang.

Langkah penutupan sekolah bagaimanapun dianggap strategi yang tidak efektif. Bak kata Penguasa Kesihatan Awam Houston, David Persse, penularan virus tersebut terlalu mudah dan pantas di kalangan pelajar sekolah hinggakan apabila sekolah ditutup sebenarnya sudah terlewat.

Kebanyakan negara kini menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan ke luar negara, serta memantau mereka yang baru pulang dari kawasan yang dijangkiti.

Sebagai langkah pencegahan, banyak syarikat penerbangan telah membaiki prosedur kebersihan terhadap penerbangan antarabangsanya bagi mengurangkan risiko termasuk memasang penapis udara, pemeriksaan suhu terhadap semua penumpang dan menyediakan tuala dengan antiseptik.

Ada juga negara yang menguatkuasakan perintah kuarantin yang sangat ketat terhadap pelancong termasuk kerajaan China yang mengarahkan 21 pelajar dan tiga guru dari AS berkurung di dalam bilik hotel mereka ekoran salah seorang penumpang kapal terbang disyaki mengidap selesema babi.

Di Hong Kong pula, sebuah hotel mengkuarantinkan kesemua 240 tetamu selepas salah seorang tetamu disahkan mengidap virus tersebut, sementara kerajaan Australia mengarahkan sebuah kapal pesiar dengan 2,000 penumpang supaya tidak mendarat selama seminggu.

WHO menjangkakan vaksin penuh untuk virus itu tidak akan ditemui sebelum akhir 2009, jika ada pun mungkin terhad dan akan diberikan terlebih dahulu kepada kakitangan kesihatan, wanita mengandung dan lain-lain kumpulan berisiko tinggi.

Mereka juga bimbang virus influenza A itu boleh bermutasi lagi dan menjadikannya sebarang vaksin baru juga mungkin tidak berkesan.

21 August 2009

TAZKIRAH RAMADHAN



Bulan Ramadhan kedatangannya dinanti , perginya ditangisi


Assalamualaikum,


Bulan Ramadhan Al-Mubarak adalah dipenuhi dengan keberkatan, keampunan dan ganjaran syurga yang dijanjikan untuk orang bertaqwa tanpa mengira fahaman politik. Kedatangannya sentiasa dinantikan oleh orang-orang beriman dan perginya akan diratapi dengan tangisan. Kita sewajarnya berasa bersyukur kerana bulan ini Allah S.W.T mencurahkan kebaikan Nya untuk segenap hamba yang beriman.

Dalam bulan ini, para sahabat dan salafus-soleh terdahulu berlumba-lumba melakukan kebaikan, menambahkan amal ibadat dan memberikan infaq kepada anak yatim serta golongan memerlukan. Ada segelintir diantara kita yang kurang peka atau sedikit jahil terhadap amalan dan tindakan yang boleh merugikan amal puasa kita.

Pada kali ini ingin saya membicarakan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa. Diantaranya :


1. Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup melakukan solat. Ada yang berpuasa tetapi meninggalkan solat atau hanya solat dalam bulan Ramadhan sahaja. Kita amat bimbang nanti puasa dan sedekahnya tidak bermanafaat kepadanya kerana solat adalah tiang agama. Ada juga dikalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak melakukan solat fardu.

2. Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta tidak menutup aurat. Kaum lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan wanitanya pula tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah.

3. Menghabiskan masa menonton televisyen dan DVD. Sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan yang lalu. Sepatutnya kita mengandakan bacaan Al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan membantu insan yang memerlukan.

4. Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli yang tinggi. Semuanya dirasakan hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan.

5. Tidak membayar zakat fitrah bukan kerana tidak mampu tetapi kurang pendedahan terhadap betapa pentingnya zakat dan kewajipan membayar zakat.

6. Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengakibatkan gangguan kepada para jemaah yang menunaikan solat tarawih di Surau dan Masjid. Sebaiknya galakkan anak solat tarawih dan tilawah Quran bersama.

7. Hanya puasa makan dan minum sahaja tetapi tidak menjaga anggota pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa.

8. Tidak mahu bersahur boleh mengurangkan berkat dan pahala puasa kerana tidak menurut wasiat Rasulullah yang bersabda :

" Sahurlah kamu kerana sahur ini ada berkat " Riwayat Bukhahri & Muslim.

Akhir kata, semoga kita dapat memperbaiki amalan puasa dan menjadikan puasa kita di Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lalu.

Berjumpa lagi dikeluaran akan datang.

Wassalam.



Tazkirah Ramadhan ini dipetik dari Buletin An-Nur SMKKDAS, Ipoh oleh Ustaz Wan Ahmad Salahudin.

06 August 2009

BERSATU HATI, BERSATU DENGAN HATI





'Unity' Padu Perpaduan

BAHAGIAN 1

Oleh : Zul Rahman



Perpaduan itu sememangnya suatu perkara yang sangat mulia. Definasi 'Padu', iatu sesuatu yang jitu, kukuh, kuat, teguh dan sefahaman adalah menjadi suatu kesinambungan yang sangat sinonim dengan kemakmuran. Kemakmuran dalam erti kata lain seperti kesefahaman dan keserasian akan menjadi pendamai kepada segala duduk perkara kepincangan atau apa jua konflik. Perpaduan, kedamaian dan kemakmuran akan pasti dapat menyelesaikan banyak konflik. Segala permasalahan pasti dapat diselesaikan dan disepakati bersama apabila wujudnya perpaduan.

Kenali Diri
Bagaimanakah kita boleh menyelesaikan konflik demi mencari kedamaian dan kemakmuran? seterusnya membawa kepada perpaduan? Maka sebelum itu, kita mesti bertanya: 'Sejauh mana kita mengenali diri kita sendiri'? dan setelah itu, kita mesti bertanya: 'Sejauh mana yang kita tahu yang diri kita ini kuat'? Sudah tentu jawapan kepada pertanyaan itu akan terhasil apabila kita sudah tahu sejauh mana kita mengenali diri kita sendiri. Apabila kita mengenali diri kita, maka kita akan mengenali kepelbagaian keseluruhan tentang diri kita, samaada ianya baik atau tidak baik. Kita juga akan dapat mengenal konflik-konflik yang ada di dalam diri kita selain kelemahan yang ada pada kita.

Apakah kita benar-benar mengenali diri kita?
'Berapa banyakkah *tahi lalat yang ada di badan kita'?
Satu soalan yang mudah, namun amat sukar untuk dijawab bagi setiap individu. Jikalau di waktu ini anda mengatakan yang anda sudah mengenali diri anda, cubalah jawab akan soalan yang sangat mudah itu. Kita ini masih belum mengenali diri kita sendiri, siapa kita, dari mana asal-usulnya kita, salasilah keluarga kita dan sebagainya.



Siapa kamu?
Mungkin, apabila ditanya, tentang siapa nama bapa dan datuk kita, kita masih boleh ingat dan kenal, tetapi jikalau ditanya sehingga kepada siapa moyang atau datuk kepada datuk kita, kita mungkin sudah tidak dapat menyebut nama mereka. Apa lagi untuk menyebut nama nenek kepada nenek kita. Begitulah kelemahan yang jelas dan sangat nyata bahwa kita tidak mengenali diri kita sendiri. Tidakkah saban hari setiap masa dan demi masa, kita memikirkan tentang mereka walau sedikit, tidakkah kita mahu mengenali mereka?
Saya amat yakin dan pasti jikalaulah kita mengenal siapa kita dan daripada mana salasilah kewujudan keluarga kita, kita akan menjadi teguh, kuat, berani, kukuh dan jitu dengan diri kita sendiri.

Apa ada denganmu?
Barangkali untuk mencari atau mengenali siapa kita dan daripada mana asal usul kita, ianya menjadi satu proses yang mungkin tidak digemari dan agak lambat untuk mendapatkan jawapannya. Tetapi, jikalau kita mencuba kaedah sperti dibawah ini, dimana kita akan memulakan dengan cara mengenali diri kita terlebih dahulu, maka dari situlah episod perjalanan pencarian tentang diri kita dan siapa kita akan bermula.

Kenali diri dan peribadi. Huraikan ianya satu persatu. Huraikan apa yang baik atau yang positif terlebih dahulu. Kemudian cuba halusinya dan memahami akan keseluruhan kefahaman tentang diri kita. Sekiranya kita menghuraikan yang diri kita ini 'kreatif', maka halusikan kekreatifan itu. Kalau kita 'berani', maka kita halusi lagi akan keberanian itu. Huraikan melalui cara menulis dan merekodkan setiap perincian tentang diri kita seperti contoh di bawah ini.



Fikirkanlah, tulislah, lukislah, renungkanlah, halusikanlah, fahamilah diri kita. Saya amat yakin dan pasti, kita akan menemui jawapan-jawapan seperti: "Oh, patutlah saya ini pandai melukis kerana"... atau "Oh begitu" dan "Ohhh..begini" atau "Oh, jadi...", anda mungkin akan tersenyum sendiri.

Maka dari permulaan itu, akan bermulalah sebuah pengembaraan atau 'Episod Pelayaran' di mana kita sangat-sangat ingin tahu tentang diri kita. Kenali diri kita, dan setelah itu kita akan ingin mengenal siapa Pencipta kita. Pesanan saya: bersabarlah, bersabarlah dan bersabarlah di dalam menempuh 'Episod Pelayaran' ini.

Salam hormat, salam penuh kasih sayang, bersambung kita nanti di -Bahagian 2


Nota: *tahi lalat - bintik, tanda di badan (mole:english). Nota lain: Cuba anda kira, ada berapa tahi lalat di badan anda? Tahukah anda yang ianya akan bertambah mengikut masa? Soalan: Kenapa? Saya juga bertanyakan soalan yang sama. :)

05 August 2009

WAD KELAS SATU UNTUK SEMUA PENJAWAT AWAM



CUEPACS MINTA TIMBANG WAD KELAS SATU UNTUK PENJAWAT AWAM

Bernama
4/8/2009

SHAH ALAM, 4 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya menimbangkan penempatan di wad kelas satu bagi semua penjawat awam yang ditahan untuk rawatan di hospital.Presidennya Omar Osman berkata satu kertas kerja mengenainya sudah disiapkan dan ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi dalam usaha menaikkan imej penjawat awam.Beliau berkata permintaan itu dianggap wajar, dan jika diluluskan penjawat awam pasti akan merasa lebih dihargai serta mempunyai motivasi lebih baik untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang."Sekarang ini penjawat awam yang masuk hospital akan ditempatkan di wad mengikut tangga gaji, kebanyakannya hanya layak di wad kelas kedua dan ketiga sedangkan mereka juga memainkan peranan yang sama ketika berkhidmat," katanya dalam sidang media di sini Selasa.Terdahulu, Omar hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ke-14 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).Beliau berkata tuntutan itu juga dibuat memandangkan ketika ini wad kelas kedua dan ketiga biasanya turut menempatkan warganegara asing yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan."Sangat tidak patut untuk petugas kerajaan ditempatkan sekali dengan mereka, kami minta kelas satu pun bukan hendak satu bilik sorang, tidak kisahlah satu bilik empat orang sekalipun tidak apa asalkan ia wad kelas satu," katanya.Selain itu Omar berkata dalam kertas kerja itu juga Cuepacs berharap elaun hotel akan dikaji memandangkan elaun RM80 yang diberikan sekarang dilihat tidak sesuai kerana kadar sewa bilik hotel terutama di ibu kota menjangkau lebih RM100."Sedih juga kadang-kadang penjawat awam duduk hotel di Chow Kit, bos-bos besar hotel lain, sedangkan nak mesyuarat hotel yang sama, mana ada sekarang ini hotel RM80," katanya.Sementara itu Omar berkata Cuepacs akan terus mengadakan penerangan serta taklimat di semua peringkat anggotaannya mengenai enam Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA) dan konsep 1Malaysia bagi memastikan semua penjawat awam peka dengan seruan kerajaan itu.Beliau berkata penerangan itu penting bagi memastikan penjawat awam faham sekaligus melaksanakan seruan kerajaan terutamanya dengan mengaplikasikannya menerusi perkhidmtan yang mereka berikan.-- BERNAMA

KSKM Negeri Perak :

Kskm Cawangan Negeri Perak menyambut baik cadangan yang akan dikemukakan kepada pihak kerajaan. Apa yang diperkatakan oleh Presiden Cuepacs banyak kebenarannya. Utamakan kebajikan buat semua kakitangan Awam dan janganlah di anak tirikan kakitangan sokongan yang sama-sama menyumbang bakti kepada Rakyat Malaysia.

04 August 2009

Bicara Teman

Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Terlebih dahulu Teman mohon maaf kerana tak dapat bersama dengan semua rakan-rakan dan teman –teman PM seluruh Perak dan Malaysia khususnya dalam beberapa minggu ni .Apapun Teman harap semua rakan-rakan Teman bahagia selalu dan sentiasa dalam kesejahteraan dan kebahagian. Seminggu lepas Teman sempat menghadiri satu majlis Walimatullurus (majlis perkahwinan) anak sepupu Teman di Kuala Kangsar. Ramai jugak le tetamu yang hadir,maklumlah majlis diadakan diluar musim “orang kahwin”. Menu yang dihidangkan memang boleh dipuji.Masak kari udang,rendang tok,gulai lemak jantung pisang,ikan kering ,sambal tempoyak.ulam-ulam,pecal,buah-buah dan menu tambahan laksa kuala serta bubur kacang. Apa yang Teman nak tulis hari ni ialah tentang Catering yang memberi perkhidmatan dalam majlis tersebut. Yang menarik untuk dikongsi bersama rakan-rakan dan teman-teman ialah perkhidmatan lengkap Catering tersebut beserta denga khemah dan pakej andaman pengantinnya sekali itu disediakan oleh seorang PAR sebuah Jabatan Kerajaan di Kuala Kangsar. Teman sempat berbual dengan pemilik catering terbabit,Beliau menyatakan bahawa hampir 6 tahun beliau menceburi bidang yang cukup menguntungkan ni.tanpa sedikitpun menjejaskan tugas hariannya sebagai PAR pejabat.Apa yang penting katanya Pengurusan yang bijak dan berkesan.Beliau telah melantik adiknya sendiri sebagai pengurus sepenuh masa dan beliau hanya menguruskan kewangan keseluruhannya. Sebenarnya semasa berbual dengan beliau Teman teringatkan ramai juga rakan-rakan kita yang menjalankan perniagaan secara sambilan untuk mencari pendapatan tambahan.Bagi Teman selagi kerja yang kita buat tidak mengganggu urusan rasmi kita selagi itu tidak menjadi apa-apa kesalahan,Apatah lagi sekarang ini pun kerajaan memang membenarkan kakitangan nya menjalankan perniagaan.Mungkin kita boleh gunakan kebenaran yang diberikan oleh majikan kita ini sebagai persediaan persaraan nanti. Bermulalah secara kecil-kecilan dahulu dan TIDAK SIAPA AKAN DAPAT MENJANGKA PEMBANTU MAKMAL AKAN MENJADI USAHAWAN BERJAYA SUATU HARI NANTI.Salam untuk semua……..Bicara Teman


TIPS MINGGU INI
MENILAI DAN MEMBENTUK HARGA DIRI
Harga Diri ialah nilai yang diletak oleh seseorang terhadap dirinya, hasil perbuatan dalam diri. Ia mempengaruhi pembentukan imej diri dan akhirnya membentuk “Harga Diri” yang akan mempengaruhi bentuk tingkah laku seseorang”.


UNSUR-UNSUR MEMPENGARUHI PEMBENTUKAN HARGA DIRI
PANDANGAN ORANG LAIN
Pujian/dorongan/ransangan/cacian/cemuhan/kutukan
Pandangan orang lain akan mempengaruhi sikap anda terhadap diri sendiri

HARAPAN DAN RAMALAN DIRI
Harapan tinggi meramalkan “KEJAYAAN”
Harapan rendah meramalkan “KEGAGALAN”

KEBOLEHAN DIRI
Membina “self confidence”
Sumber meningkatkan diri

CEKAL DIRI
Konsisten menjadikan anda cekal
Menganggap “kegagalan” bukan penyudah segala usaha
Berusaha dan bertawakkal kepada Allah
Menyedari kelemahan diri dan membuat perubahan


HARGA DIRI TINGGI
Aktif dan positif
Suka berdikari
Open mind
Suka menghargai orang lain
Yakin kebolehan diri
Tahu kelemahan dan kekuatan diri

HARGA DIRI RENDAH
Mudah kecewa
Sering menyalahkan orang lain
Mengelak risiko
Tiada prinsip diri
Mudah mengalah
Kurang keyakinan diri
Terlalu bergantung kepada orang lain

KONSEP DIRI NEGATIF
Melihat dan menilai diri hanya dari sudut negatif


HARAPAN DIRI TIDAK REALISTIK
Mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin dapat dicapai

MENGAKU KALAH
Apabila matlamat tidak tercapai segala usaha dihentikan


PENGHARGAAN RENDAH

Tidak menghargai kejayaan diri


PENCAPAIAN RENDAH
Tidak membuat perubahan ke arah pencapaian sendiri


KURANG DORONGAN

Oleh kerana anda ragu tentang keupayaan diri sendiri, orang lain tidak MENILAIkebolehan anda


KAEDAH MENINGKATKAN HARGA DIRI
Sedar KELEMAHAN dan KEKUATAN diri sendiri
Berdisiplin dan gigih berusaha
Belajar dari pengalam lepas
Bina imej diri POSITIF
Tetapkan MATLAMAT yang hendak dicapai dengan jelas
Hindari PERBUALAN DIRI NEGATIF
Terimalah KELEMAHAN dan kekurangan diri

Jalinkan HUBUNGAN positif
Hentikan mencari kelemahan orang lain
Belajarlah MENGHARGAI untuk DIHARGAI

80% kejayaan ditentukan oleh Harga Diri, 20% ditentukan oleh kecerdikan(Dr. Krumer)
RENUNGKANLAH........